Polis pantau nelayan Suluk

0

KUCHING: Polis sentiasa memantau pergerakan nelayan Suluk di perairan Miri untuk mengelakkan berlakunya insiden yang boleh mengancam keselamatan negara.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata beberapa anggota daripada Unit Cawangan Khas telah ditugaskan untuk melakukan pemantauan dan memohon agar penduduk tidak panik berhubung perkara tersebut.

“Setakat ini aktiviti yang mereka (nelayan Suluk) jalankan tidaklah mengancam keselamatan, mereka cuma bekerja.

“Bagaimanapun, masyarakat jangan panik, kerana kami ada anggota dan pegawai yang akan sentiasa memantau perkara ini kerana kami juga tidak mahu jumlah mereka bertambah,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan perkara tersebut semalam.

Terdahulu, Sabtu telah merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pelaporan Mengenai Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) di sini, semalam.