13,262 diperiksa dalam Operasi Bersepadu Khas di ESSZone: Rashid

0

LAHAD DATU: Seramai 13,262 orang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Khas yang diterajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di lima daerah Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) dari 2 Januari hingga 30 Mac lepas.

Komander ESSCom Datuk Abdul Rashid Harun berkata daripada jumlah itu, 1,842 orang yang dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk urusan penghantaran pulang ke negara asal mereka.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan di pelbagai lokasi, termasuk pasar besar daerah dan tempat orang ramai berkumpul di pusat bandar Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.

Abdul Rashid berkata daerah Tawau mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 798 orang diikuti Sandakan (428) dan Lahad Datu (390 orang).

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa ESSCom hanya menahan atau menangkap warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan yang sah, dan niat kita murni

iaitu mahu membersihkan ESSZone daripada PATI,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Senamrobik Perdana sempena ulang tahun kedua penubuhan ESSCom di padang Pasukan Polis Marin, dekat sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Ruji Ubi, Pengarah Logistik dan Urus Tadbir ESSCom Brig Jen Subari Tomo, Pengarah Komponen Laut ESSCom Laksamana Pertama Maritim M. Karunanithi, Pengarah Bahagian Perisikan ESSCom Datuk Md. Rahim Mohammad, Pengarah Bahagian Keurusetiaan ESSCom Newmond Tibin dan Pengarah Bahagian Tindakan Awam ESSCom Wan Mohd Khalid Wan Kamal. — Bernama