51 pemilik tanah NCR terima bayaran pelaburan RM80,093.80 daripada KTS Pelita (Simunjan)

0

BAYARAN: Cheng (tiga kanan) menyampaikan bayaran kepada seorang pemilik tanah. Turut kelihatan (dari kanan) Rengan, Padan, Gelanggang, Vincent, Kim dan Adibah.

SIMUNJAN: Seramai 51 pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerima bayaran Pelaburan Assar Matang (Kumpulan 8) bernilai RM80,093.80 daripada KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd, semalam.

Majlis penyerahan yang diadakan di pejabat estet di sini semalam dihadiri ahli kanan Jawatankuasa Kemajuan Tanah KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd Desmond Cheng, ahlinya Datuk Vincent George Chapman, Penolong Pegawai Pentadbiran Kementerian Kemajuan Tanah Kim Min Far dan Adibah Syafiah yang mewakili Setiausaha Tetap Kementerian, Datu Jaul Samion dan Pegawai Projek Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) Kuching Padan Singa.

Vincent dalam ucapannya berkata, syarikat di bawah kepimpinan Cheng akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran bagi mengurangkan impak kejatuhan harga minyak sawit mentah.

Tambahnya, KTS Pelita (Simunjan) berharap untuk mengagih dividen kepada pemilik tanah NCR yang mengambil bahagian sebelum perayaan Gawai pada awal Jun.

“Kiraan sedang diperhalusi dan kami harap sebelum Gawai, pemilik tanah yang mengambil bahagian akan diberi dividen yang sewajarnya.”

Vincent turut menuntut kerjasama erat di kalangan pemilik tanah untuk meningkatkan keselamatan di estet perladangan bagi mengelak sebarang kecurian tandan buah segar (FFB).

Beliau memberi amaran, mereka mungkin kehilangan dividen bernilai ratusan ringgit akibat kecurian jika mereka tidak menjaga estet dengan baik.

Sementara itu, Padan memberitahu pemberita, kesemua pemilik tanah lebih 300 orang yang menyertai projek di sini diharapkan menerima dividen dan insentif menjelang Mei tahun ini.

Beliau menjelaskan, dividen diagihkan berdasarkan prestasi syarikat usaha sama itu manakala insentif sudah ditetapkan sebanyak RM300 sehektar setahun.

“Lebih baik prestasi, lebih tinggi dividen yang kami dapat berikan. Ini adalah kerana dividen bergantung kepada prestasi syarikat,” jelasnya.

Padan percaya KTS Pelita (Simunjan) akan mencapai sasaran 42,000 tan metrik FFB pada tahun ini ekoran kawasan matang baharu seluas kira-kira 1,200 hektar.

“Sekarang dengan kawasan matang baharu, kawasan keseluruhan dalam pengeluaran sekarang adalah 2,755 hektar. Walaupun harga CPO terus menurun, kami berharap kawasan baharu ini dapat merangsang produktiviti,” katanya.

Setakat Mac, syarikat sudah mencatatkan 7,000 tan metrik FFB.

“Ia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran,” kata Padan.

Mengenai CPO, beliau berkata harga semasa mencatatkan harga terendah baharu bagi tempoh enam bulan terakhir.

“Walaupun sebelum akhir tahun lepas, harga CPO naik, ia turun sejak dua bulan lalu,” tambahnya.

Turut hadir Ahli Majlis Daerah Simunjan Gelanggang Sangga, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kawasan (ADC) KTS Pelita (Simunjan) Sdn Bhd Rengan Chengu dan setiausaha sulit Vincent Natasha Tiong Nulie.