Sambutan Hari Daerah Daro yang ke-42 meriah

0

Oleh Bryan Bell //

IMBAU SEJARAH: Persembahan seni tradisional turut mengisi acara sambutan Hari Daerah Daro yang ke-42.

SAMBUTAN Hari Daerah Daro yang ke-42 berjaya menambat hati penonton yang bertandang ke Dewan Terbuka Tadika Kie Ming, di Daro, baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti serta program yang mantap telah disajikan kepada pengunjung pada malam tersebut, seperti persembahan tarian, nyanyian artis jemputan, perarakan kereta berhias yang buat julung kali diadakan oleh masyarakat dan jabatanjabatan di Daerah Daro dan sebagainya.

Mengimbau kembali sejarah Daro, pelbagai kemajuan daripada aspek pembangunan dan pemodenan telah dikecapi sepanjang 42 lahir sebagai daerah yang setanding dengan daerah-daerah lain di Sarawak.

Dengan pembangunan yang dinikmati dicorak dengan seimbang diharap dapat membentuk masyarakat yang berdaya maju demi mencapai Wawasan 2020.

Majlis Perasmian Hari Daerah Daro ke-42 telah disempurnakan oleh Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.35 Belawai Datu Len Talif Salleh.

Turut hadir ADUN N.37 Daro Murni Suhaili, wakil Residen Bahagian Mukah Seroji Ludin, Pegawai Daerah Daro merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Hari Daerah Daro 2015 Abg Mohamed Abg Turkey, wakil Pegawai Kewangan Persekutuan Sarawak Pui Lih Shan, Setiausaha Majlis Daerah Matu Daro Wan Mohamad Wan Badehi dan Pemanca Bujang Razeli.

PENGHARGAAN: Len menerima cenderahati sebagai penghargaan masyarakat daerah Daro selepas perasmian Hari Daerah Daro yang ke-42.

MENAMBAT HATI: Perarakan kereta berhias menambat hati para pengunjung.