Sunday, September 27

Ibu bapa disaran aktif dalam PIBG

0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

Ketahui prestasi anak, pupuk hubungan erat dengan warga sekolah

KUCHING: Ibu bapa disaran melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah anak mereka.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selain membantu perkembangan pendidikan anak, ia juga boleh dijadikan platform memupuk hubungan erat dalam kalangan ahli persatuan termasuk warga sekolah dan pendidik.

Jelasnya, sebarang penganjuran aktiviti oleh PIBG terutama mesyuarat tidak boleh dianggap remeh kerana ia adalah masa paling sesuai untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai prestasi akademik dan kokurikulum anak di sekolah.

“Ibu bapa khususnya harus menjadikan PIBG sebagai tempat paling penting dan sesuai untuk berinteraksi dengan warga sekolah dan pendidik dalam satu platform rasmi.

“Selain itu, mereka (ibu bapa) juga harus berusaha untuk menghadiri mesyuarat PIBG sekolah kerana dari situ, mereka boleh mendapatkan maklumat yang betul dan tepat terutama mengenai usaha pihak sekolah mendidik anak-anak,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, usaha mendidik anak-anak tidak sepatutnya dibebankan hanya kepada warga sekolah semata-mata kerana kebanyakan masa anak-anak diluangkan bersama ibu bapa dan keluarga di rumah.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru di Jalan Bako di sini, semalam.

Sementara itu, Fadillah menggesa warga sekolah untuk mewujudkan persekitaran persekolahan yang kondusif dan selesa sebagai usaha untuk menarik minat pelajar ke sekolah.

Jelasnya, selain sokongan dan galakan daripada ibu bapa itu sendiri, aspek persekitaran juga memainkan peranan penting sepanjang waktu pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Apa yang penting ialah tanggungjawab kita khususnya jawatankuasa PIBG untuk membantu pihak sekolah menyediakan kemudahan yang lebih kondusif serta keadaan yang lebih ceria bagi memastikan anak-anak bersemangat datang ke sekolah.

“Dengan itu, ia diyakini mampu meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan dan kemahiran di samping memiliki sahsiah atau kekuatan dalaman untuk terus berdaya tahan dan berdaya saing bagi menghadapi suasana masa depan yang lebih sengit persaingannya,” jelasnya.

Mengulas mengenai permohonan SMK Demak Baru untuk memiliki tandas bertaraf lima bintang, dewan sekolah dan surau, beliau melahirkan sokongan namun ia harus melalui prosedur yang ditetapkan.

Katanya, pihak sekolah harus mengemukakan permohonan kelulusan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tujuan tapak dan kebenaran membangunkan kemudahan fizikal mahupun prasarana sekolah.

“Selepas mendapat kelulusan daripada pihak PPD, baharulah kita boleh melantik konsultan untuk mereka ciri-ciri kemudahan fizikal yang hendak dibangunkan mengikut kesesuaian tapak dan sebagainya,” katanya.

Pada tahun lepas, SMK Demak Baru menerima peruntukan sebanyak RM1.6 juta untuk tujuan penambahbaikan bangunan sekolah.

SMK Demak Baru mempunyai seramai 928 pelajar arus perdana serta 85 pelajar pendidikan khas dan bimbingan.

Hadir sama ialah Pengetua SMK Demak Baru Fatimah Hamid.