Kemusnahan besar

0

MUSNAH: Sebuah kereta yang dihempap oleh serpihan bangunan runtuh akibat letupan flat di Sibu Jaya, semalam.

ROSAK TERUK: Keadaan di kawasan kejadian sejurus selepas letupan membabitkan flat di Sibu Jaya, semalam.

Letupan kuat dipercayai akibat kebocoran gas ranapkan dua unit flat Sibu Jaya.

Oleh Andy Sabang dan Michael Ubam //

SIBU: Bunyi letupan kuat seolah-olah bom akibat kebocoran tong gas memasak menyebabkan salah satu daripada dua unit flat Blok E Sibu Jaya di sini runtuh selain terjejas teruk dan merosakkan kejiranan berhampiran.

Siasatan awal kejadian menggemparkan penghuni flat pada jam 2.48 pagi itu mendapati letupan berpunca daripada tindakan salah seorang mangsa menghidupkan suis lampu rumah di kediamannya di tingkat bawah flat berkenaan.

Akibat letupan itu, mangsa dikenali sebagai S’ng Guan Hock, 51, mengalami kelecuran teruk 52 peratus bahagian badan dan kini menerima rawatan di Hospital Sibu.

Manakala, 10 mangsa lain yang turut cedera menerima rawatan sebagai pesakit luar. Mereka ialah Chental Angellica berusia 23 hari, Rity Petrus ,18, Fatrica Petrus, 17, Vennissa Niza, 14, Babyana Fitricey, 13,  Albert Giman, 46, dan Caroline Alo Giman, 46.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Kamal Kordi semasa ditemui di lokasi kejadian berkata, punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan.

Jelasnya, pasukan polis forensik diterbangkan dari Kuching untuk mengambil alih siasatan.

“Saya telah dimaklumkan, siasatan terperinci akan dilakukan pasukan forensik bagi mengenal pasti punca sebenar insiden letupan,” katanya.

Jelasnya, polis juga telah mengarahkan penduduk dari 65 unit kediaman flat itu mengosongkan segera  kediaman masing-masing bagi tujuan keselamatan.

Sehingga berita ditulis, sebanyak 75 aduan pelbagai kerosakan telah diterima pasukan bertugas di kaunter aduan sementara yang dibuka di lokasi kejadian.

Sementara itu, semua mangsa terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Sibu Jaya dan Dewan Balai Polis Sibu Jaya.