Piala Belia: Fuad buntu catur pemain hadapi Kelantan esok

0

KUCHING: Pengendali skuad bawah 19 tahun, Fuad Grbesic buntu mencatur barisan pemain yang akan diturunkan pada perlawanan Piala Belia menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu petang esok.

Ini selepas beliau kehilangan pertahanan Alexs Watson Sia yang digantung perlawanan kerana mengutip tiga kad kuning dan penyerang Amirul Shafizan Mohd Safri akibat kecederaan.

Lebih memeritkan, Fuad turut kehilangan dua lagi pemain secara kekal, Suffian dan Sazwie yang mengambil keputusan meninggalkan skuad kerana mahu menyambung pengajian.

“Saya telah memilih pemain baharu namun mereka kurang pengalaman. Kita tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa menurunkan mereka,” katanya semalam.

“Apapun, kempen tetap akan diteruskan dan kita akan menggunakan strategi seperti biasa pada perlawanan itu nanti.”

Menurut Fuad, meskipun tidak mengetahui kekuatan Kelantan, beliau tetap optimis dengan kemampuan anak-anak buahnya.

“Saya berharap pemain tidak leka dan mengambil setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol. Paling penting perlu fokus sepanjang permainan,” tambahnya.

Sarawak berada di kedudukan ke-12 selepas mengutip lapan mata hasil dari dua kemenangan dan dua seri.