Serian akan terus jadi ‘deposit tetap’ BN: Riot

0

SERIAN: Serian diberi jaminan akan terus menjadi ‘deposit tetap’ kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya sama ada negeri ataupun umum.

Menteri Sumber Manusia juga Ahli Parlimennya Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, malah ia telah dibuktikan penduduknya selama ini setiap kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU), BN di Serian tetap memenangi semua kerusinya.

“Sokongan rakyat di sini kepada BN begitu kuat sekali dan ia terbukti pada PRN dan PRU sebelum ini di mana kita mengekalkan kemenangan.

“Pada PRN akan datang, saya sebagai Ahli Parlimen Serian bersama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup dan Tebedu akan terus memastikan BN akan memenangi kerusi serta termasuk satu lagi kerusi (dicadangkan),” ujarnya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis perasmian Pesta Birumuh (Pesta Menuai Padi) 2015 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Stadium Mini Serian di sini, semalam.

Tambah Riot, penduduk Serian juga menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Adenan kerana yakin kemampuan BN dalam menerajui negeri dan negara.

Mengulas mengenai pesta berkenaan Riot berkata, ia menjadi satu sejarah kepada Serian apabila menyaksikan kira-kira 10,000 pengunjung bukan sahaja komuniti Bidayuh tetapi pelbagai kaum dari seluruh pelosok negeri.

“Mereka datang ke sini berkumpul dengan satu semangat kuat bukan sahaja bagi memeriahkan Pesta Birumuh tetapi mahu mendengar sendiri berita baik daripada Ketua Menteri kita,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan juga Ketua Penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Dato Sri Michael Manyin Jawong dalam ucapannya berkata, meskipun kini komuniti Bidayuh sudah mencapai banyak kemajuan namun ia masih tidak mencukupi.

“Kita tidak harus berpuas hati dengan kemajuan yang sudah dicapai sejak 50 tahun lalu kerana masih banyak yang perlu kita perbaiki agar kita terus seiring dengan kaum lain yang ada,” katanya sambil memberitahu kaum Bidayuh di Sarawak dianggarkan berjumlah 200,000 orang.

Beliau berkata, kaum Bidayuh harus terus meningkatkan taraf pendidikan yang diyakini mampu mengubah taraf hidup mereka.

Mengenai Pesta Birumuh, Manyin berkata ia acara memperingati tentang aktiviti nenek moyang mereka yang bergantung kepada ‘Birumuh’ pada zaman 30-an hingga 50-an dahulu kepada generasi muda masa kini.

“Birumuh ini mempengaruhi kita sebagai kaum Bidayuh, yang merupakan tradisi serta budaya kita maka itu kita harus menunjukkan ia kepada generasi baharu,” katanya.