SMK Oya bukti keunggulan hoki MSS Bahagian Mukah

0

OYA: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Oya B menjuarai Kejohanan Hoki Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak (MSS) Bahagian Mukah bagi kategori Lelaki 18 Tahun Ke Bawah (18 TKB) selepas menewaskan SMK Dalat pada perlawanan akhir yang berlangsung di Padang SMK Oya, kelmarin.

Kejohanan tersebut disertai sebanyak enam buah sekolah iaitu SMK Oya, SMK Dalat, SMK Mukah, SMK Batang Igan, SMK Agama Igan dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah yang bersaing dalam format liga ‘round robin.’

SMK Oya juga merupakan tuan rumah kejohanan dua hari pada 9 dan 10 April itu.

Sementara itu, bagi kategori Perempuan 18 TKB, pasukan SMK Oya turut unggul apabila menewaskan SMK Mukah pada perlawanan akhir di venue yang sama.

SMK Dalat sekadar berpuas hati menduduki tempat ketiga.

Manakala bagi kategori Lelaki 15 TKB, SMK Dalat muncul juara selepas menundukkan SMK Oya yang sekadar berpuas hati menjadi naib juara dan tempat ketiga disandang oleh MRSM Mukah.

Bagi kategori Perempuan 15 TKB pula, SMK Mukah bergelar pemenang selepas menewaskan MRSM Mukah pada perlawanan akhir.

Majlis penutupan kejohanan disempurnakan oleh Penyelia Sukan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Mukah Christopher Spencer Latip.