Dua buruh asing masuk secara haram dipenjara tiga bulan

0

MIRI: Dua buruh warga asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini petang semalam kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk proses penghantaran pulang ke negara asal mereka sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Hukuman dijatuhkan Hakim Marutin Pagan setelah menimbangkan beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan kedua-dua tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukan serta mengambil kira kepentingan awam.

Ikus Bujang, 52, dan Heri Miron, 26, kedua-duanya dari Singkawang, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, kedua-dua tertuduh ditangkap pada jam 1.30 pagi, 28 Mac lalu di belakang sebuah rumah di Taman Merbau 3 di sini untuk tujuan pemeriksaan warga asing.

Hasil pemeriksaan mendapati Ikus masuk ke negeri ini pada Oktober 2013 manakala Heri pada Julai 2014.

Kedua-dua tertuduh be-kerja di beberapa tempat di bandar raya ini tanpa mempunyai sebarang dokumen yang sah.

Hasil semakan maklumat dalam sistem data perjalanan warga asing daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Putrajaya mendapati rekod pergera-kan kedua-dua tertuduh tidak wujud dalam sistem kawalan JIM.

Di dalam mahkamah, kedua-dua tertuduh merayu hukuman yang ringan memandangkan ini adalah ke-salahan pertama mereka.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Norliza Abdullah.