Harus ikut prosedur untuk kelaskan peribumi Sarawak sebagai Dayak

0

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak harus mengikut prosedur jika mahu meminta pindaan kepada Ordinan Tafsiran Sarawak 2005 untuk mengelaskan peribumi di Sarawak sebagai Dayak dan bukan lagi Dan Lain-Lain (DLL).

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata parti pembangkang itu seharusnya meminta pindaan tersebut kepada Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu dan bukannya cuba memenuhi agenda politik mereka dengan mengusulkannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

“Pertama, mereka harus mengubah Perlembagaan Persekutuan untuk melakukan definisi… bukannya pergi kepada negeri dahulu.

“Dengan mengusulkan di sini (negeri), mereka tidak mengikut prosedur dan oleh itu, kemungkinan besar ia boleh dibuang kerana prosedur itu adalah salah.

“Saya pasti kebanyakan mereka dalam DAP adalah peguam dan mereka tahu mengenai perkara ini tetapi kenapa mereka mahu melakukannya kalau bukan sebagai gimik politik.

“Saya tidak berminat dalam gimik politik seperti ini dengan menggunakan Dayak sebagai alasan untuk meningkatkan keprihatinan kepada kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemu bual di pejabatnya, bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya di sini semalam.

Dalam pada itu, Masing menjelaskan bahawa Ahli Parlimen PRS juga telah mengusahakan perkara itu di peringkat persekutuan.

“Orang kami sedang membuatnya tetapi kami tidak mempolitikkannya kerana kami mahu melakukannya secara teratur.

“Selepas selesai, baharulah kami membawanya ke peringkat negeri.

“Tidak seperti DAP yang melakukannya secara terburu-buru… bagaimana ia dapat diselesaikan dengan baik.

“Kami tidak jahil seperti yang DAP fikirkan dan kami juga mempunyai peguam sendiri untuk menasihati kami berhubung perkara ini,” katanya.

Sehubungan itu, Masing berharap Ahli Parlimen PRS akan dapat menyelesaikan perkara itu dalam tahun ini.