Penglibatan masyarakat tangani jenayah dialu-alukan

0

Oleh Saleman Senin //

Indeks jenayah rendah dan terkawal bukan jaminan masyarakat merasakan keselamatan mereka terjamin

LAYAN: Aidil bersama anggotanya melayan pelanggan yang datang ke tapak gerai mereka pada Program Bersama Pelanggan.

BETONG: Penglibatan masyarakat dalam membantu polis menangani dan membanteras jenayah amatlah dialu-alukan bagi menjaga kesejahteraan dan keselamatan komuniti setempat.

Ketua Polis Daerah Betong DSP Aidil Bolhassan berkata meskipun indeks jenayah masih rendah dan terkawal di sini namun tidak semesti-nya masyarakat merasakan keselamatan mereka sentiasa terjamin.

“Kami di IPD Betong tetap komited membanteras jenayah serta meminta orang awam bekerjasama dengan polis bagi menjaga keselamatan dan kesejahteraan justeru menjadikan Betong sebuah daerah selamat,” katanya pada Program PDRM Bersama Pelanggan dan ‘High Profile Policing’ sempena Ju Berami Saribas di sini kelmarin.

Katanya orang awam juga boleh membuat sebarang aduan berkaitan salah laku terutama melibatkan pegawai dan anggota polis sendiri.

“Saya tidak berkompromi terhadap pegawai dan anggota polis yang mengamalkan rasuah, mereka akan dikenakan tindakan tata-tertib. Perkara itu suatu yang serius dan mencemarkan imej polis,” ujarnya.

Program itu mendekati dan menggalakkan masyarakat bekerjasama dengan polis sekali gus menjadi ahli Rakan Cop dan Rakan Amanita serta membuang rasa takut masyarakat untuk memberi maklumat tentang aktiviti dan perlakuan jenayah di tempat mereka.

Kehadiran 30 pegawai dan anggota pelbagai pangkat membuktikan mereka komi-ted bersama-sama masyarakat dan prihatin terhadap kese-lamatan bersama.

Pelbagai aktiviti dijalankan seperti menerima aduan pelanggan berhubung perkhidmatan PDRM serta cadangan dan pandangan melalui temu bual bersama pegawai polis dan mengisi borang maklum balas kepuasan pelanggan.

Orang awam boleh membuat semakan saman trafik, pendaftaran ahli Rakan Cop melalui SMS serta pendaftaran Rakan Amanita.