16 pasukan sertai pertandingan bola keranjang ‘3 on 3’ Piala Kaul, 18-19 Apr

0

MUKAH: Jawatankuasa Kaul Mukah 2015 dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Mukah, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah dan Kelab Bola Keranjang Setia Raja Mukah akan menganjurkan Pertandingan Bola Keranjang ‘3 on 3’ Piala Kaul pada 18 dan 19 April ini.

Sebanyak 16 pasukan yang mana majoritinya adalah belia Cina menyertai pertandingan tersebut yang akan berlangsung di Dewan Terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chong Boon.

Juara bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM600 berserta piala, medal dan piala pusingan, sementara naib juara akan meraih RM400, piala dan medal.

Pemenang tempat ketiga akan membawa pulang RM200 berserta piala dan medal.

Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) Negeri Sarawak Royston Valentine merangkap penyelaras bersama pertandingan berkata, pertandingan tersebut merupakan julung kali diadakan sempena sambutan Pesta Kaul Mukah.

“Pertandingan ini adalah salah satu inisiatif pihak penganjur untuk menarik penglibatan komuniti Cina dalam acara Kaul Mukah yang lebih menjurus kepada kaum Melanau.

“Secara tidak langsung ia mampu mengukuhkan lagi perpaduan antara kaum yang ada di Bahagian Mukah ini,” katanya.

Pesta Kaul Mukah akan turut menyaksikan penganjuran beberapa acara sukan lain, antaranya permainan Tradisional, pertandingan petanque, sepak takraw, pertandingan bola sepak Kaul Mukah Edisi Ke-2 dan banyak lagi.

Aktiviti-aktiviti yang dirancang akan dilaksanakan sepanjang tempoh kaul dari 18 hingga 26 April ini.