K-League: Riaz FC ikrar teruskan momentum kemenangan

0

KUCHING: Riaz FC berada dalam mood terbaik untuk mencatat kemenangan kedua menentang Marr SC dalam perlawanan ketiga K-League 2015 di Padang C petang ini.

Pengendalinya Mohd Nor Mahli berkata, kemenangan terhadap OBYU Realty pada minggu lepas membakar keyakinan anak-anak buahnya untuk meneruskan momentum kemenangan dalam saingan liga yang semakin rancak.

“Pemain berada dalam prestasi terbaik ketika ini selepas mencatat kemenangan pertama minggu lepas.

“Ia sekali gus memberi signal betapa anak-anak buah saya dahagakan kemenangan seterusnya untuk mengukuhkan kedudukan dalam carta liga,” katanya ketika dihubungi semalam.

Nor bagaimanapun mengingatkan pemain agar berwaspada dengan keupayaan Marr sekali pun tahap keyakinan mereka sedang berada di kemuncak ketika ini.

Tegasnya, pemain tidak harus memandang enteng keupayaan Marr sambil bersedia menghadapi sebarang tentangan dari skuad lawan itu.

Riaz ketika ini mengutip empat mata selepas mencatat sekali menang dan sekali seri dalam dua perlawanan.

Perlawanan bermula pada jam 4.15 petang.