Kegiatan rompak hasil laut Miri tumpas

0

Oleh Mohd Norhadie Sahari //

APMM berjaya tahan nelayan Filipina bersama kapal yang sarat dengan muatan ikan

BAHAN BUKTI: Adli menunjuk bekas sarat ikan semasa penahanan kapal nelayan asing di Kampung Pulau Melayu, pagi kelmarin.

MIRI: Tindakan berani nelayan Filipina merompak hasil laut di perairan negara akhirnya tumpas apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Miri menahan sebuah kapal asing sarat muatan ikan.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Miri Komander Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, APMM menahan sebuah kapal nelayan asing pada jarak 16 batu nautika dari pantai Lutong pada 13 April kira-kira jam 6.50 petang.

“Kita berjaya menahan sebuah kapal nelayan asing sarat dua bekas ‘ikan sulit,’ peralatan menangkap ikan dan lembing semasa berada dalam perairan negara,” katanya di sini semalam.

Adli berkata ia adalah satu lagi kejayaan APMM dalam usaha membanteras kegiatan nelayan asing di perairan negara terutama Miri yang kaya dengan sumber ikan bergred tinggi.

APMM Miri katanya menahan kapal bernombor LNF797, seorang tekong termasuk 11 awak-awak Filipina tanpa permit sah menangkap ikan di perairan Malaysia.

“Ketika ditahan, salah seorang mempunyai sijil kelahiran Sabah, sembilan memiliki pasport sementara, dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen peribadi,” jelasnya.

Adli berkata, semua warga asing itu dihantar ke pusat tahanan APMM bagi  tujuan penyiasatan menyeluruh.

Mengulas lanjut mengenai jumlah kemasukan kapal nelayan asing ke perairan negara, Adli berkata, Miri adalah kawasan kaya sumber ikan dan ia menjadi tarikan nelayan asing.

“Nelayan asing tidak harus berani mengambil risiko menangkap ikan di Benting Luconia hingga Benting Patinggi Ali kerana kawasan berkenaan di bawah pemerhatian dan pemantauan rapi pihak APMM Miri,” tegasnya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta untuk tekong dan RM100,000 untuk setiap awak-awak jika sabit kesalahan.

Adi berkata, pihaknya akan terus memperhebat penguatkuasaan serta operasi di perairan negara bagi memasti warga asing tidak menceroboh serta membawa keluar sumber ikan dari Malaysia.

Sementara itu, APMM Miri katanya akan melaku pemantauan kawasan perairan Sibuti dan Suai bagi memastikan nelayan asing tidak membolosi perairan negara.

“Kita akan bekerjasama rapat dengan penduduk setempat bagi menjaga keselamatan perairan negara dan memasti nelayan tempatan turun ke laut berada dalam keadaan selamat,” jelasnya.