Lelaki disyaki cuba bunuh isteri direman empat hari

0

DIBERKAS: Suspek (kanan) diiringi keluar dari Balai Polis Pusat Miri untuk dibawa ke mahkamah petang semalam bagi mendapatkan perintah reman.

MIRI: Seorang lelaki ditangkap kerana disyaki cuba membunuh isterinya diperintah Mahkamah Majistret petang semalam supaya direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluar Pendaftar Mahkamah Rendah, Haizah Tamin setelah membenarkan permohonan reman dikemuka pegawai penyiasat Inspektor Mizlan Abdul Ghani.

Dalam permohonannya, Mizlan memberitahu pada 13 April lalu, seorang wanita berusia 29 tahun membuat laporan polis mendakwa suami cuba membunuhnya.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 11.12 pagi kelmarin, ketika berada di rumahnya di kawasan Tukau, suaminya tiba-tiba telah menyerang dia dengan menutup mukanya menggunakan sebiji bantal dan menampar mukanya dipercayai cuba membunuh.

Bagaimanapun, pengadu berjaya menyelamatkan diri dan lari ke rumah jiran sebelah untuk meminta bantuan.

Menurut pengadu, suaminya dipercayai bertindak sedemikian kerana berada di bawah pengaruh dadah dan suami juga sering menjual barangan kepunyaan pengadu.

Selain itu, pengadu  mendakwa dia dan suami sedang dalam proses cerai serta tidak lagi tinggal serumah dan sebelum kejadian berlaku, pengadu terjumpa polisi insurans hayatnya di atas meja dipercayai dikeluar suaminya dari tempat simpanan dan percaya suami ada berniat jahat terhadapnya.

Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 12.55 pagi semalam, sepasukan polis melakukan Ops Cantas berjaya menangkap suspek di rumah pengadu kerana dipercayai terlibat dalam kes ini.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas sebiji bantal yang dipercayai diguna suspek menekup muka pengadu.

Dalam permohonan lanjutnya, Mizlan memberitahu reman selama tujuh hari mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas suspek berusia 28 tahun amat diperlu untuk memboleh polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman empat hari yang akan berakhir pada 19 April ini.