Saturday, August 20

Mayat lelaki dipercayai dibaham buaya ditemui

0

DI SINI: Lokasi di mana mangsa dipercayai diserang buaya Sungai Rimbas.

DEBAK: Mayat pemuda dipercayai dibaham buaya Sungai Rimbas petang semalam ditemui sekitar jam 8.20 malam tadi di lokasi sama mangsa dikatakan diserang reptilia berkenaan.

Terdahulu pada jam 3 petang semalam, mangsa dikenali sebagai Bob Denok, 31, dari Kampung Babu di sini bersama dua rakannya M. Ashraff Araffe, 12, dan Mohd Shafuan Dahan, 14, pergi ke sungai berkenaan untuk memetik buah pedada tidak jauh dari jambatan hilir sungai kampung terbabit.

Salah seorang rakan mangsa memberitahu, ketika kejadian dia bersama seorang lagi rakan berada di atas pokok, manakala mangsa berada di dalam sungai memetik buah pedada yang merimbun sehingga paras sungai.

Menurutnya, mereka cuma menyedari mangsa diserang buaya selepas terkejut mendengar jeritan mangsa meminta tolong dan sempat melihat kelibatnya sebelum hilang dibawa buaya ke dasar sungai.

Kedua-dua rakan mangsa kemudian bergegas memaklum dan meminta pertolongan daripada orang kampung.

Sejurus itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilancar di sekitar lokasi kejadian membabitkan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Betong dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Betong bersama penduduk kampung.

Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan cukup sifat oleh penduduk pada jam 8.20 malam tadi dengan kecederaan pada lengan kiri dan leher.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Betong untuk bedah siasat sebelum diserah kembali kepada warisnya.