Polis buru tiga individu dipercayai terlibat IS

0

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan tiga rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam kumpulan militan IS dan masih bebas, selepas kembali ke negara ini baru-baru ini.

“Kami telah mengenal pasti tempat-tempat di mana mereka mungkin berada,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.

Beliau yakin bahawa ketiga-tiga suspek terbabit tidak dapat mempengaruhi masyarakat kerana polis telah dikerahkan untuk mengesan mereka.

Wan Junaidi berkata maklumat mengenai kepulangan mereka ke negara ini diperoleh menerusi rangkaian perisikan polis dan kerjasama di peringkat antarabangsa.

Sebaik ditahan, beliau berkata kesemua suspek akan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012

“Mereka tidak boleh didakwa di bawah Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 yang baharu, kerana rang undang-undang itu masih belum diwartakan sebagai undang-undang,” katanya.

POTA yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 6 April lepas, bertujuan untuk membanteras kegiatan keganasan di negara ini, berikutan keseriusan ancaman yang dicetuskan oleh kumpulan militan termasuk IS.

Ditanya bila POTA dijangka dikuatkuasakan, Wan Junaidi berkata perkara itu bergantung apabila rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Negara dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Jika Dewan Negara tidak mempunyai bantahan terhadapnya (rang undang-undang tersebut), (dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong), pada akhir Jun ini, undang-undang ini boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Terdahulu, dalam sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara, Wan Junaidi berkata berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia, sehingga 1 April tahun ini, sebanyak 119 rakyat Malaysia terlibat dalam kegiatan kumpulan militan IS.

Daripada jumpah itu, katanya sebanyak 60 berjaya ditahan di negara ini, manakala 46 orang masih bebas di Syria, 10 orang terkorban dan tiga lagi telah kembali ke Malaysia, namun masih bebas.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk R. Goonasakaren yang ingin tahu langkah-langkah diambil kementerian bagi mengawal penularan fahaman militan ISISserta mekanisme untuk mengawal rakyat negara ini daripada terbabit dalam kumpulan militan radikal.

Menjawab soalan tambahan R. Goonasakaren mengenai kerjasama parti politik berlainan agama dalam mengekang penularan fahaman IS, Wan Junaidi berkata keterlibatan IS tidak hanya tertumpu kepada faktor keagamaan seseorang itu sahaja.

“Berdasarkan penangkapan terhadap masyarakat Malaysia, orang yang dikenal pasti terlibat ini, latar belakang mereka pelbagai. Saya tekankan di sini, tidakada tumpuan menunjukkan bahawa mereka ini berlandaskan pelajaran, latar belakang dan agama terutamanya,” kata beliau.

Beliau berkata tumpuan kerajaan pada masa ini adalah untuk membendung orang ramai daripada terpengaruh dan terjebak dalam kumpulan IS melalui jaringan media sosial yang mudah, ketika ini. — Bernama