Remaja OKU hamil dipercayai dirogol jiran warga emas

0

SIBU: Seorang nenek tergamam selepas diberitahu cucunya berusia 15 tahun yang juga pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) telah mengandung tujuh minggu.

Dalam kejadian pada jam 9 pagi kelmarin, nenek mangsa, 68, membawanya ke klinik selepas mendapati cucunya tidak sihat dan kerap muntah angin ketika berada di rumah di Sungai Durin di sini.

Nenek bersama ibu saudara mangsa pergi ke sebuah klinik swasta di sini dan hasil pemeriksaan mendapati, remaja berkenaan telah mengandung.

Tidak berpuas hati dengan pemeriksaan klinik berkenaan, nenek mangsa pergi ke klinik swasta lain namun mendapat jawapan yang sama, cucunya hamil tujuh minggu.

Menyedari sesuatu buruk telah menimpa cucunya, nenek dan mak saudara mangsa terus pergi ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan.

Hasil siasatan awal pihak polis, mangsa mendedahkan dia dipaksa seorang lelaki warga tua berumur 76 tahun mengadakan hubungan seks sebanyak sekali semasa berada di rumah pengadu sekitar Februari tahun ini.

Suspek merupakan jiran mangsa yang juga bekerja sebagai pekebun.

Polis yang bertindak atas maklumat berjaya menahan suspek yang kini ditahan di lokap balai Polis Sentral untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut dijangka disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.