Sarawak raih mata berharga

0

Oleh Harry Ilias //

Anak didik Johnny ikat JDT II 0-0 pada saingan Piala Presiden 2015 di laman sendiri

KENTAL BERTAHAN: Pertahanan Sarawak, Mohamad Alif Hassan (6) menanduk bola keluar pada perlawanan menentang JDT II di Stadium Negeri semalam. Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

KUCHING: Penjaga gol kedua Sarawak, Mohd Iqbal Suhaimi muncul penyelamat skuad Piala Presiden Sarawak ketika mengikat Johor Darul Ta’zim II tanpa jaringan di Stadium Negeri petang semalam.

Pemain berpengalaman itu mematahkan beberapa percubaan berbahaya penyerang JDT II pada perlawanan pertama pusingan kedua bagi Kumpulan A.

Sarawak yang turun dengan hasrat untuk membalas kekalahan pada minggu lepas melancar beberapa siri serangan ke kubu JDT II sebaik perlawanan bermula.

Namun, ketumpulan jentera menghampakan segala usaha anak-anak buah Johnny Dominicus.

Perlawanan babak kedua jelas dikuasai JDT II memaksa pemain Ngap Sayot berkampung di kawasan sendiri untuk mengekang deretan serangan skuad lawan.

Mujur Iqbal bertindak cemerlang membantu mematahkan beberapa percubaan terbaik skuad pimpinan bekas penyerang Johor, Ervin Boban.

Keputusan itu kekal hingga tamat perlawanan membolehkan Sarawak mengumpul lima mata setakat ini hasil dari satu kemenangan dan dua seri.

Menurut Johnny, beliau memuji persembahan anakanak buahnya kerana mampu memberi tentangan sengit terhadap JDT II.

“Lega selepas kita berjaya mengutip satu mata yang cukup berharga ini. Pemain telah memberikan yang terbaik dan kita juga mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol.

“Cuma, ketumpulan jentera serangan menggagalkan usaha dan aspek ini perlu dipertingkatkan pada perlawanan mendatang,” katanya ketika diminta mengulas perlawanan itu.