Atlet harus berwaspada

0

Oleh Borhaniza Ali Basah //

Elak cedera ketika bertanding atau menjalani latihan

SIBU: Para atlet haruslah sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti sukan mereka bagi mengelak berlaku kecederaan.

Naib Pengerusi Lembaga Pengurusan SMK Tung Hua, Dr Wong Soon Ting berkata adalah jarang berlaku kecederaan semasa sukan olahraga kerana kemudahan latihan dalam keadaan selamat dan sistematik dan turut dipantau oleh jurulatih.

“Bagaimanapun, adalah penting atlet sentiasa berhati-hati kemungkinan berlaku kecederaan ketika bersukan,” katanya pada Hari Sukan Tahunan SMK Tung Hua di Stadium Tun Zaidi semalam.

Beliau yang merasmikan Hari Sukan itu berkata, kecederaan ketika bersukan biasa berlaku ialah terseliuh pergelangan kaki, kekejangan pangkal paha, ketegangan ‘hamstring’ dan lutut dan kecederaan bahagian siku.

Beliau berkata, kecederaan ini biasanya terjadi dengan mengejut dan terlebih regangan tendon, ligamen dan otot-otot.

Tambahnya, beberapa kecederaan disebabkan kemalangan tetapi majoritinya boleh dikaitkan dengan kecuaian diri dan kelalaian serta sikap buruk atlet-atlet itu sendiri.

“Oleh itu, atlet perlu memberi perhatian dan mengambil langkah berjaga-jaga semasa latihan dan pertandingan bagi mengelak daripada kecederaan. Beliau menasihati para atlet aktif bersukan agar sentiasa memulakan rutin harian mereka dengan memanaskan badan.

Terdahulu, pengetua sekolah Ling Chai Ping berkata seramai 458 pelajar mengambil bahagian pada kejohanan dua hari itu dengan menyaksikan 76 acara dipertandingkan.

“Kita mempunyai ‘inter class’ serta persaingan antara rumah tersendiri semua peringkat hingga dari Tingkatan Enam.

“Ini sangat menarik dan saya berharap kita semua mengambil bahagian pada kejohanan ini,” katanya.