Bantu ceriakan institusi kebajikan

0

Masyarakat harus main peranan agar penghuni tidak berasa terpinggir

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Penglibatan masyarakat dalam mengindah dan menceriakan institusi kebajikan di negeri ini amat diperlukan, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Jelasnya, kerjasama berkenaan penting supaya penghuni di institusi kebajikan tidak berasa tersisih atau dipinggir.

“Penglibatan dan kerjasama ini tentu akan meninggalkan satu impak serta kesedaran kepada penghuni bahawa masyarakat di luar sana masih prihatin terhadap kebajikan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program gotong royong Taman Sri Puteri Kuching (TSPKu) di Telaga Air dekat sini semalam.

Program itu semalam disertai Trifoguild Girl Guide, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Pertubuhan Persekutuan Wanita Sarawak (PPWS), Persatuan Kebajikan Islam (PERKIP), sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kakitangan TSPKU.

“Saya begitu terharu melihat kerjasama diberi beberapa agensi termasuk Ahli Lembaga Pelawat sendiri serta 230 anggota ATM bagi menjayakan program kita pada hari ini (semalam),” tambahnya.

Justeru beliau berharap, kerjasama seumpama itu dapat diterus pada masa akan datang bagi memastikan setiap institusi kebajikan dapat diceria dan diindahkan.

“Program gotong-royong ini akan diterus dalam usaha kita menanam semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat untuk membantu golongan yang memerlukan,” katanya lagi.

Selain program gotong-royong, Fatimah memberitahu Ahli Lembaga Pelawat turut mengadakan kelas tuisyen dan kemahiran kepada pelatih di TSPKU serta sumbangan berbentuk lain.

“Ini adalah sesuatu sangat baik kerana semangat keprihatinan rakyat amat diperlu membantu golongan ini. Saya mahu semangat keprihatinan ini terus hidup subur dalam kalangan rakyat,” ujarnya.

Hadir sama Toh Puan Norkiah, Pengarah JKM Abg Shamsuddin Abg Seruji, Pengarah Jabatan Wanita dan Pembangunan Keluarga Noriah Ahmad, Panglima Medan Timur Lt Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar, Pengerusi Perkip Kuching Roslina Rahman, Pengerusi Lembaga Pelawat TPSKU Bolhi Murad, Pengerusi Trifoguild Girl Guide Dyg Mariana Abg Zain dan Pengetua TSPKU Emi Bujang Adris.