Cadangan tubuh platun JPAM setiap DUN

0

SEGAK: Wan Junaidi memakaikan pangkat pada pakaian seragam RELA Dennis sambil diperhatikan Rosey (kiri), Alwi dan Khalid (kanan) di Miri semalam.

Cadangan salah satu program NBOS untuk mendekatkan masyarakat dengan KDN

Oleh Sudan Ajang //

SIBUTI: Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang menubuhkan platun Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara bermula di Sarawak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata penubuhan itu merupakan salah satu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi mendekatkan masyarakat dengan KDN dan agensi di bawahnya.

“Kementerian belum melaksanakan cadangan itu di seluruh negara namun saya akan melancarkan platun pertama di kawasan DUN Santubong dalam masa terdekat. Saya sudah arahkan Jabatan Pertahanan Negeri berbincang dengan wakil rakyat di sana untuk menubuhkan JPAM,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kick Start NBOS KDN di Rumah Panjang Johnson Jangi di Seloi Tengah, Kilometer 48, di sini semalam.

Wan Junaidi berkata, setiap platun itu disertai oleh 30 orang.

Mengenai pelancaran program NBOS itu, beliau berkata melalui program NBOS kerajaan tidak perlu membina banyak pusat latihan kerana mereka dapat menjalani latihan-latihan di agensi di bawah KDN sekali gus ‘menyelamatkan’ wang kerajaan kira-kira RM6 juta dalam tempoh lima tahun.

“Sehubungan itu, kementerian mahu memperluas program itu ke seluruh negara khususnya luar bandar Sarawak dan Sabah yang mempunyai bentuk muka bumi luas dan setengahnya susah dihubungi,” katanya sambil menambah ia dapat meningkatkan pemahaman orang awam mengenai peranan agensi-agensi itu.

Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Datuk Alwi Ibrahim, Ketua Polis Negara Tan Sri Datuk Sri Khalid Abu Bakar, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Rosey Yunus, ADUN Lambir Ripin Lamat, ADUN Telang Usan Dennis Ngau dan Tuai Rumah Johnson Jangu.

Sementara itu, KDN menafikan dakwaan bahawa terdapat kaum Suluk berasal dari Filipna di Miri menyamar menjadi anggota RELA untuk mengaburi mata agensi penguat kuasa di sini.

Wan Junaidi berkata, beliau mengarahkan RELA membuat penapisan bagi memastikan tiada warga asing mengunakan agensi itu untuk menyembunyikan identiti mereka.

“Setakat ini, kita nafikan ada wujudnya penyamaran ini. Ahli RELA mestilah warganegara, orang tempatan dan diiktiraf,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan bahawa terdapat kaum Suluk di Baram menyamar menjadi ahli RELA untuk memudah mereka mendapat sumber maklumat mengenai operasi pihak berkuasa sekali gus membantu menyelamat diri daripada pihak berkuasa.

Dalam perkembangan berkaitan, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengadakan Ops Bersepadu menangani kedatangan kaum Suluk di sini.

“Jawatankuasa ini akan membuat laporan setiap Jumaat dan menyerah kepada saya untuk tindakan selanjutnya. Di samping itu kerajaan negeri dan imigresen turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Tanah dan Survei, Sarawak Energy, majlis perbandaran, JPAM dan Jabatan Pendaftaran Negara dalam memerangi Suluk hingga ke akar umbi.

“Operasi itu tidak tertumpu untuk kaum Suluk malah PATI yang lain dari Bangladesh dan Pakistan. Kita tidak akan berkrompromi dengan mana-mana PATI,” katanya.

Terdahulu, Wan Junaidi menyampaikan pangkat dan kenaikan pangkat anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) dan pakaian seragam kepada Rosey, Ripin, Dennis dan Johnson serta dokumen pengenalan diri kepada penduduk di kampung tersebut.