Cari kaedah tingkat keluaran, kualiti produk kayu

0

RASMI: Awang Tengah (lima kanan) melakukan simbolik perasmian Sarawak Timber & SMEs Expo 2015 di BCCK semalam.

Pemain industri perabot disaran bekerjasama dalam R&D untuk memastikan pulangan tinggi: Adenan

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menggesa pemain industri perabot di negeri ini mencari kaedah dan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran serta kualiti produk masing-masing.

Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan akan terus menyokong dan mempromosikan pembangunan industri perabot negeri untuk mencapai kedudukan pasaran global yang lebih baik menjelang tahun 2030.

“Agensi yang berkaitan dan pihak berkepentingan industri perkayuan harus menjalankan kerjasama mengenai inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan nilai pulangan yang tinggi dan kemampanan industri perkayuan pada masa akan datang.

“Inisiatif R&D ini harus melibatkan penambahbaikan hutan semula jadi, penanaman hutan berkualiti dan produktiviti, kaedah penuaian serta produk-produk industri hiliran.

“Pada masa sama, kerajaan juga menggalakkan industri berasaskan kayu untuk menggunakan sumber-sumber hutan dengan memproses sisa kilang menjadi produk biomas seperti pelet kayu dan kayu mampat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmiannya sempena Sarawak Timber & SMEs Expo 2015 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Pembangunan Perindustrian.

Adenan berkata, industri perkayuan di Sarawak akan terus tumbuh pesat sebagai pemain penting dalam pasaran antarabangsa bagi produk-produk perkayuan dan kayu tropika.

Ketika ini, jelasnya, industri perkayuan berada pada kedudukan keempat dari segi pendapatan eksport kepada negeri selepas gas asli cecair (LNG), petroleum mentah dan produk petroleum serta minyak sawit.

Berdasarkan rekod tahun 2014, katanya, nilai eksport produk perkayuan Sarawak adalah sebanyak RM7.3 bilion, iaitu enam peratus daripada jumlah hasil eksport negeri dan meningkat 1.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Suka saya memaklumkan bahawa industri perabot kekal sebagai penyumbang penting kepada eksport produk perkayuan Malaysia dengan hasil berjumlah RM6.3 bilion tahun 2014.

“Daripada jumlah itu, sektor perabot Sarawak menyumbang hanya RM40 juta atau kurang daripada 1.0 peratus daripada jumlah eksport perabot kayu Malaysia.

“Bagaimanapun, eksport perabot kayu Sarawak mencatatkan peningkatan kepada 33 peratus pada 2014 berbanding tahun sebelumnya,” jelasnya.

Mengulas mengenai expo tersebut, Adenan berkata ia harus dilihat sebagai kerjasama strategik antara pembekal kayu tempatan, pembuat perabot dan pengusaha kecil dan sederhana ke arah membangunkan pasaran kukuh bagi produk-produk buatan Sarawak.

Beliau percaya penyertaan pempamer antarabangsa akan memperkukuhkan jaringan perniagaan dan pada masa sama mempromosikan produk-produk Sarawak.