Sunday, October 17

Jaga pendidikan anak tanggungjawab bersama

0

MIRI: Kaum bapa tidak harus melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada ibu mengurus dan menjaga pendidikan anak sebalikinya harus memilikul tanggungjawab bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir, Ripin Lamat berkata rata-rata setiap program yang dianjur pihak sekolah lebih cenderung dihadiri kaum ibu berbanding kaum bapa.

“Kaum bapa sepatutnya bersama-sama memikul tanggungjawab dan meluang masa bersama kaum ibu dan anak dengan menghadiri apa jua program anjuran pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Riam Kali Ke-23 tengah hari semalam.

Ripin berkata, kehadiran kaum bapa di sekolah akan mengukuh lagi sokongan dan kepercayaan anak supaya mereka berada lebih dihargai.

“Trend kaum ibu yang lebih cenderung menyokong aktiviti sekolah anak perlu diubah kerana kehadiran bapa juga sama penting bagi memastikan kejayaan anak di sekolah,” jelasnya.

Meskipun lelaki katanya bekerja untuk menjaga kebajikan keluarga, namun ia bukan alasan untuk golongan bapa tidak meluangkan masa bersama anak di sekolah.

“Kecemerlangan anak di sekolah harus mendapat sokongan semua pihak termasuk ibu bapa dan guru, sehubungan itu apenting golongan ini tahu perkembangan pendidikan pelajar di sekolah,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ripin berkata, Pusat Khidmat DUN Lambir mengalu-alu pemohonan ibu bapa untuk mendapatkan bantuan pendidikan ke peringkat universiti.

“Kita memberi bantuan pendidikan secara sekali sahaja (one-off) kepada pelajar cemerlang terdiri daripada keluarga tidak berkemampuan supaya dapat melanjut pelajaran ke universiti,” jelasnya.

Menurutnya, bantuan pendidikan itu boleh dipohon melalui Pusat Khidmat DUN Lambir bagi membantu meringankan beban ibu bapa dan pelajar semasa persiapan untuk ke universiti.

Dalam majlis sama, Ripin turut mengumumkan serta menyerahkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM10,000 kepada pihak sekolah SMK Riam.

Hadir sama ialah Timbalan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Alias Ngah, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Riam, Abang Arabi Abang Abang Imran dan  Pengetua sekolah, Aziah Zaki.

Seramai 152 pelajar menerima anugerah dan sijil masing-masing dalam majlis terbabit dan ia adalah penghargaan kepada pelajar cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.