MSAM beri pendidikan tentang pelaburan kepada pengunjung

0

SIBU: Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2015 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan kerjasama kerajaan negeri bermula hari ini di Dataran Sibu bukan menyasarkan bilangan pengunjung semata-mata.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, sebagai program tunjang pendidikan pelaburan bersepadu PNB, matlamat utama penganjuran MSAM ialah memberi pendidikan pelaburan serta perancangan kewangan kepada masyarakat secara percuma sejak dianjur pada  2000.

Katanya, selain berperanan sebagai platform pendidikan pelaburan dan perancangan kewangan, MSAM merupakan medium mempromosi PNB dan syarikat  kumpulannya.

“Memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dan melihat secara lebih dekat prestasi serta perkembangan syarikat-syarikat ini, agar mereka lebih berkeyakinan untuk melabur bersama PNB.

“Pada tahun ini, MSAM telah mendapat sambutan daripada 40 peserta pameran, terdiri daripada syarikat Kumpulan PNB, ejen-ejen ASNB, badan kawal selia serta organisasi kerajaan dan swasta,” kata Hamad.

Beliau berkata demikian  ketika menyampai ucapan alu-aluan pada majlis perasmian program Sime Darby Rhino Walk anjuran PNB yang ditaja Yayasan Sime Darby dengan kerjasama Pejabat Residen Sibu dan Pejabat Daerah Sibu di pekarangan Kompleks Islam Sibu pagi semalam.

Terdahulu beliau memberitahu, tahun ini, PNB menyasar 150,000 pengunjung akan datang mengunjungi MSAM 2015 di Dataran Sibu dan berharap akan menambah rekod keseluruhan pengunjung MSAM yang berjumlah lebih 2.8 juta sejak mula dianjurkan pada tahun 2000.

Menurutnya juga, ini bukan pertama kali MSAM diadakan di Sarawak.

“Kita telah berkunjung ke Sarawak pada tahun 2010 dan berkampung selama seminggu di Kuching dan dalam tempoh tersebut kita telah berjaya menarik sejumlah 187,000 pengunjung dari seluruh negeri,” katanya.

Justeru, melalui usaha ini, beliau berharap PNB dapat menajam lagi pemahaman masyarakat terutama mengenai konsep asas pelaburan, hubung kait risiko dan pulangan, konsep pelaburan jangka panjang untuk matlamat jangka panjang serta mekanisme instrumen pelaburan di pasaran seterusnya membantu membuat keputusan pelaburan serta kewangan berhemah.

Program tersebut yang dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Sosial (Pembangunan Belia) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.