Semua kubu bersejarah dipelihara

0

UNTUL ALBUM: Adenan (duduk tengah) bersama menteri dan wakil rakyat sempena majlis perasmian Muzium Warisan (Kubu Alice) Sri Aman, semalam.

Peruntukan disedia agar kubu jadi warisan generasi akan datang: KM

Oleh Edwin Raoh //

SRI AMAN: Kerajaan negeri akan memberi tumpuan utama untuk memelihara semua kubu bersejarah yang terdapat di  negeri ini mulai hari ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, sebanyak 14 kubu bersejarah di Sarawak ketika ini dan kerajaan akan menyedia peruntukan memelihara serta memulihara kubu berkenaan.

Justeru, kerajaan akan bersedia memberi peruntukan bagi melakukan kerja memelihara kubu bersejarah di negeri ini terutama kubu  dibina pada era pemerintahan Rajah Brooke.

“Kami berusaha memastikan kubu bersejarah di negeri ini menjadi warisan dan kekal bagi tatapan golongan generasi muda nanti,” kata beliau.

Adenan berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja tamat merasmikan Muzium Warisan (Kubu Alice) Sri Aman di sini, semalam.

Untuk fakta, kerja naik taraf Kubu Alice menjadi Muzium Warisan Sri Aman pada April 2013 bernilai RM5 juta siap sepenuhnya pada November tahun lepas.

Jabatan Kerja Raya dipertanggungjawab sebagai agensi pelaksana dan Artikek JFN Sendirian Berhad selaku perunding projek berkenaan.

Turut hadir majlis itu isteri beliau Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Pelancongan dan Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi, wakil rakyat dan ketua jabatan kerajaan.