Yaman perlukan proses politik menyeluruh: Setiausaha Agung OIC

0

KUALA LUMPUR: Satu proses politik menyeluruh perlu dilaksanakan secepat mungkin untuk menjamin wujudnya keamanan berkekalan di Yaman, kata setiausaha agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Tan Sri Iyad Ameen Madani.

Ketua pertubuhan berpejabat di Jeddah itu berkata konflik di Yaman ‘bukan baharu’ dan tidak melibatkan pemberontak Houthi semata-mata, seperti yang dipercayai banyak pihak.

“Ia adalah mengenai penyatuan negara itu. Di bawah pentadbiran Presiden (Ali Abdullah) Saleh, terdapat tuntutan agar negara itu kembali dipecah kepada dua –Yaman Utara dan Selatan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernamaketika melakukan lawatan rasmi pertama ke Malaysia sebagai setiausahaa agung OIC minggu lepas.

Beliau juga menjelaskan tentang wujudnya cawangan rangkaian kumpulan militan Al-Qaeda di negara itu.

“AS (Amerika Syarikat) menghantar dron untuk membunuh anggota kumpulan itu, tetapi kadang-kadang turut mengorbankan pihak tidak bersalah, termasuk kanak-kanak, yang tinggal di rumah masing-masing,” katanya sambil menjelaskan tentang pelbagai isu yang melanda rakyat Yaman sejak sekian lama.

Madani berharap puak Houthi akan bersetuju mengadakan rundingan tanpa membuat sebarang tuntutan serta menghormati kerajaan yang dipilih rakyat Yaman melalui pilihan raya.

“Kami dalam OIC berharap akan wujud proses politik dan puak Houthi menyedari bahawa tindakan ketenteraan tidak memberi manfaat kepada sesiapa.

“Sekiranya banyak lagi perkara buruk berlaku, maka keadaan di Yaman akan lebih buruk. Sekiranya mereka (puak Houthi) adalah rakyat Yaman, maka mereka perlu lebih menyedari perkara ini,” katanya.

Mengulas tentang serangan diketuai Arab Saudi, beliau berkata tindakan itu diambil berdasarkan persetujuan antara Yaman dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) selepas puak Houthi tidak mempedulikan inisiatif keamanan yang dianjurkan GCC.

Katanya serangan itu bukan bertujuan mengalahkan mana-mana pihak, tetapi untuk menyedarkan pemberontak bahawa mereka perlu menghormati perlembagaan.

Bekas menteri Arab Saudi itu percaya isu Yaman akan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Menteri-Menteri OIC akan datang selepas majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu membuat keputusan mengenakan sekatan senjata terhadap puak Houthi Selasa lepas (14 April).

Sementara itu, beliau menyuarakan kekesalan dengan sikap media yang hanya menghubungi pertubuhan 57 negara anggota itu apabila ingin membuat laporan tentang konflik dan peperangan, tetapi tidak melaporkan sumbangan positifnya kepada komuniti global.

“Media hanya bertanya tentang krisis. Jadi, mereka hanya membuat pembaca dan pendengar yakin serta percaya bahawa satu-satunya perkara yang dilakukan negara anggota ialah berperang dan terlibat dengan konflik, sedangkan perkara ini tidak betul dan adil,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa OIC melakukan banyak perkara baik, termasuk melaksanakan kegiatan budaya serta program untuk belia dan wanita.

Menurut Madani, tahun ini, OIC akan mengadakan sidang kemuncak di Islamabad, Pakistan, khusus mengenai sains dan teknologi untuk menghimpunkan semua kejayaan saintifik dan inovasi teknologi yang dihasilkan negara anggotanya.

Ditubuhkan pada 1969, OIC adalah pertubuhan antara kerajaan kedua terbesar di dunia, selepas Pertubuhan Bangsa Bersatu. Antara objektifnya ialah untuk memajukan dan membangunkan sains dan teknologi serta menggalakkan penyelidikan dan kerjasama antara negara anggota dalam bidang itu. — Bernama