Tuesday, March 19

Beberapa syarikat Sarawak dapat kontrak Petronas

0

Oleh Patricia Gari//

 

TERBAIK: Adenan bersama tetamu kehormat lain bergambar bersama kakitangan OMSB berlatarbelakangkan pelantar minyak Projek SFRSC Tanjong Baram (Fasa Akhir).

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata beberapa syarikat dari negeri ini akan mendapat kontrak daripada Petronas untuk terlibat aktif dalam industri minyak dan gas negara.

“Dalam beberapa hari akan datang saya akan menyaksikan Petronas menganugerahkan kontrak kepada syarikat dari Sarawak dan jumlahnya (syarikat) agak banyak.

“Saya menjangkakan lebih banyak syarikat tempatan terlibat dan terlibat aktif dalam industri ini pada masa akan datang,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Pejabat Tadbir OceanMihgt Sdn Bhd (OMSB) dan Pelantar Minyak Projek SFRSC Tanjong Baram (Fasa Akhir) di Jalan Bako, Muara Tebas dekat sini semalam.

Adenan menegaskan bahawa Sarawak tidak hanya mahu menjadi pemerhati dalam industri minyak dan gas negara terutama apabila bahan mentah itu diekstrak dari luar pesisir negeri ini.

“Syarikat Sarawak mahu terlibat dan terlibat aktif dalam industri ini.

“Jadi pemberian kontrak kepada OceanMight Sdn Bhd, syarikat bersekutu KKB Engineering Berhad untuk membina pelantar minyak adalah satu contoh penglibatan aktif syarikat Sarawak dalam industri minyak dan gas negara.

“Ini adalah peluang untuk syarikat berpangkalan di Sarawak berjaya dalam industri minyak dan gas pada masa akan datang,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai syarikat itu, Adenan berkata ia merupakan contoh terbaik kepada syarikat tempatan membuktikan mereka boleh menjadi peserta dan berjaya dalam industri berkenaan.

“Saya amat percaya KKB bermula pada skala yang sangat kecil tetapi sekarang berjaya memperluaskan aktivitinya serta menggaji ramai tenaga kerja tempatan.

“Walaupun tidak kesemua tetapi rata-rata adalah tenaga kerja tempatan khususnya dari kawasan sekitar.

“Syarikat ini (OMSB) sahaja menggaji hampir 800 pekerja dan jumlah itu dijangka bertambah kepada 2,000 orang apabila kesemua projek lengkap kelak,” katanya.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan KKB Engineering Bhd yang juga Pengarah Urusan Kumpulan OMSB Datuk Kho Kak Beng, Pengarah OMSB William Kho Pak Tong, Pengurus Besar Kanan Malaysia Petroleum Management Petronas Emery Hisham Yusoff dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.