Kementerian Perumahan mohon membina 12,222 rumah dimiliki, 5,012 rumah disewa

0

KUCHING: Kementerian Perumahan telah menge-mukakan permohonan untuk membina sebanyak 12,222 unit rumah dimiliki dan 5,012 unit rumah disewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia adalah usaha berterusan kerajaan menyediakan lebih banyak rumah mampu milik dan rumah kos rendah untuk menampung keperluan rakyat yang sentiasa meningkat.

Bagaimanapun, katanya jumlah tersebut sudah tentu tidak mencukupi untuk menampung permintaan pada masa depan.

Maka, katanya pembekalan rumah awam akan turut di-tampung melalui program-program lain yang dilaksanakan seperti program Rumah Mesra Rakyat, PR1MA, MyHome Scheme, Skim Perumahan Belia, Skim Perumahan Nelayan dan Program Bantuan Rumah.

“Kita juga tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan persekutuan untuk membina rumah mampu milik tersebut.

“Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) juga telah merancang membina 3,508 unit rumah mampu milik dalam RMK11 di atas tapak tanah milik sendiri.

“Ini adalah bagi menampung permintaan golongan berpendapatan sederhana agar mereka turut mampu membeli rumah,” katanya menerusi ucapan penggulu-ngan Kementerian Perumahan pada Persidangan Dewan Undangan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kementeriannya bersama Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar serta agensi berkaitan juga sedang mengkaji semula dasar rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah.

Menurutnya, dasar yang dilaksanakan lebih 15 tahun itu perlu dikaji semula agar ia dapat disesuaikan dengan keperluan perumahan rakyat pada masa kini.

Dasar rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah adalah melibatkan penyediaan rumah oleh pemaju perumahan swasta berdasarkan peratusan kuota dari 10 peratus hingga 30 peratus bergantung kepada keluasan sesebuah projek perumahan yang hendak dilaksanakan.

Harga rumah yang ditawarkan ialah antara RM50,400 hingga RM100,000 seunit khususnya untuk golongan berpendapatan rendah yang berpendapatan kasar isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan untuk rumah kos rendah dan RM5,000 sebulan untuk rumah kos sederhana rendah.

Pada masa sama, Abang Johari berkata kementeriannya juga sedang mengkaji opsyen untuk mengenakan levi perumahan ke atas para pemaju yang memilih untuk tidak membina rumah kos rendah di bawah dasar tersebut.

Berhubung penyelesaian masalah setinggan, Abang Johari berkata lebih banyak rumah mampu milik akan dibina di kawasan yang mempunyai bilangan keluarga setinggan yang besar seperti di bandar raya Kuching, Miri dan Bintulu.

Katanya dalam RMK11, kementeriannya telah mengemukakan cadangan pembinaan rumah mampu milik di kawasan-kawasan tersebut selain cadangan pembinaan projek-projek rumah mampu milik oleh HDC.

Jumlah setinggan di seluruh Sarawak yang direkodkan pada 2010 ialah sebanyak 9,760 Ketua Isi Rumah (KIR) namun sejak Pelan Tindakan Penyelesaian Setinggan Ne-geri dilaksanakan pada tahun tersebut, sebanyak 2,750 KIR setinggan atau 28.2 peratus telah diluluskan penyelesaian oleh kerajaan melalui kaedah-kaedah penyelesaian yang ditentukan.

“Pemantauan dan penguatkuasaan ke atas pertum-buhan baharu setinggan akan dipertingkatkan lagi dan mana-mana setinggan baharu yang dikenal pasti akan diambil penguatkuasaan segera termasuk tindakan pengusiran,” katanya.