Botak demi kebajikan

0

SOKONGAN: Fadillah bersama Rodney, Affick, Addy dan beberapa peserta terawal bergambar selepas membotakkan kepala semasa kempen ‘Go Bald’ di Kuching 2015 semalam.

AMAL: Acara ‘Go Bald’ 2015 di Kuching, semalam.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof turut membotakkan kepala pada ‘Go Bald’ Kuching 2015.

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: ‘Go Bald’ Kuching 2015 menyaksikan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof menjadi salah seorang daripada 12 peserta terawal membotakkan kepala di pusat beli-belah CityOne di sini, semalam.

Turut serta dalam kempen tahun ketujuh penganjurannya itu Presiden SCCS Rodney Wong, penyampai Era.fm Affick, penyampai My.fm Addy, pesakit kanser, ibu bapa pesakit, pesakit kanser yang telah pulih dan sukarelawan.

Terdahulu, orang ramai yang prihatin dilihat telah mula memenuhi CityOne seawal jam 10 pagi bagi menyaksikan acara amal utama bagi mengumpul dana yang dijalankan Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS) itu.

Menurut SCCS, kempen itu semalam telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM100,000 termasuk RM10,000 daripada Fadillah.

Terdahulu Rodney dalam ucapan aluannya berkata, kempen ‘Go Bald’ menyasarkan penglibatan orang awam bagi menunjukkan sokongan padu khususnya kepada kanak-kanak dan keluarga penghidap kanser dengan membotakkan kepala dan menghantar pesanan berbentuk sokongan sepanjang pesakit menjalani rawatan pemulihan.

Jelasnya, tahun ini SCCS menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1.5 juta bagi menubuhkan sebuah rumah transit di Miri selain membantu meringankan kos operasi dan fokus untuk meningkatkan perkhidmatan persatuan itu dalam setiap aspek.

Bermula pada 30 April lalu, CityOne telah memulakan kempen mendidik orang ramai dengan menyediakan papan maklumat mengenai kanser dan SCCS sendiri di situ.

Selain membotakkan kepada, orang ramai yang hadir semalam juga boleh menyertai pelbagai aktiviti sambil beramal di gerai tatu sementara dan lukisan muka, kraf tangan, pelbagai barangan dan banyak lagi yang disediakan.

Selain itu, orang ramai juga boleh mencipta lencana dan magnet peti sejuk melawan kanser sendiri di gerai yang disediakan.

Selepas Kuching, ‘Go Bald’ akan berlangsung di Delta Mall, Sibu pada 10 Mei diikuti Miri (Bintang Megamall) pada 17 Mei dan Bintulu (Parkcity Everly Hotel) pada 24 Mei.

‘Go Bald’ 2015 mendapat sokongan Tru events, Borneo LED, AD Jeans, YFS Fashion Chain Store, Cahya Mata Sarawak (CMS), MickLong Bridal Studio, Benta Mewan Sdn Bhd, Mavisco Sdn Bhd, Gather Cafe, H.I.P Casual Dining, Ray’s Salon & Academy, Hair Plus dan Absolute Hair Studio.

Untuk maklumat lanjut mengenai SCCS, sila hubungi Afreeda Nawawi di talian 013-8338667 atau e-mel ke [email protected].

Selain itu orang ramai bolehlah melayari ww.gobald.my atau melawat Facebook mereka di www.facebook.com/ GoBald.