Kerajaan terus bersedia beri bantuan, sokongan terhadap semua rumah ibadat

0

KUCHING: Kerajaan akan terus menyediakan bantuan dan sokongan terhadap semua rumah ibadat di negeri ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie, yang menyatakan bahawa rakyat yang mempunyai latar belakang agama yang kuat akan melahirkan warganegara yang mampu menyumbang secara berkesan ke arah pembangunan negara.

“Dengan latar belakang dan pendidikan rohani yang kuat, negeri kita juga dapat mendahului kemajuan dan transformasi dengan pesat sebagai orang lebih berdisiplin dan mempunyai tahap toleransi yang lebih tinggi antara satu sama lain,” katanya selepas penyerahan geran kerajaan kepada jawatankuasa pelbagai gereja dan gereja kecil di Gereja Katolik St Stephen di sini, semalam.

Beliau sendiri telah menyumbang geran kerajaan berjumlah RM646, 000 .

Nansian yang juga Menteri Perkhidmatan Komuniti memberitahu bahawa pihaknya telah menyerahkan kepada masyarakat Islam di Tasik Biru sebanyak RM86,500 manakala peruntukan RM125,000 akan diberikan kepada pelbagai jawatankuasa kuil yang akan diadakan pada minggu-minggu akan datang.

Geran katanya, adalah untuk membiayai penyelenggaraan dan pengurusan bagi semua rumah ibadat utama di Tasik Biru.

Mengenai peruntukan yang lebih besar kepada masyarakat Kristian, Nansian menjelaskan bahawa ini adalah disebabkan oleh hakikat bahawa majoriti rakyat di Bau adalah Katolik yang menjadikan ia logik bagi mereka menerima bahagian yang lebih besar.