Persatuan Autistik Sibu berjaya kumpul RM1 juta

0

SIBU: Jawatankuasa pengumpulan dana Persatuan Autistik Sibu diketuai Wong Ching Yong berjaya mengumpul dana RM1 juta.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah melahirkan rasa gembira dengan kejayaan kempen kutipan amal untuk autisme.

Beliau berkata, pencegahan awal adalah penting mendapatkan hasil lebih baik dengan terapi di pusat jagaan kanak-kanak autisme.

“Ibu bapa diberi jaminan mendapatkan yang terbaik bagi anak-anak menghidap autisme dengan kemudahan yang disediakan di pusat jagaan kanak-kanak,” katanya pada Majlis Makan Malam Kesyukuran Persatuan Autistik Sibu di sini, malam kelmarin.

Beliau menjelaskan bahawa komitmen, dedikasi dan kasih sayang pengarah dan guru-guru berkhidmat menjadi faktor perkhidmatan terbaik disediakan di pusat jagaan kanak-kanak.

Fatimah berkata, sejak  2013 kementeriannya mencari calon-calon di negeri ini untuk menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak autisme.

“Kita memilih Sibu menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak yang pertama disebabkan Persatuan Autistik Sibu aktif menjalankan tanggungjawab dan mereka bersedia untuk tujuan itu,” ujarnya.

Taska Autisme Sibu merupakan pusat jagaan kanak-kanak autisme pertama ditubuhkan di negeri ini di bawah inisiatif kerajaan dan mula beroperasi pada Januari 2014.

Fatimah berkata kesedaran perlu diwujudkan secara berterusan di kalangan orang ramai untuk mengetahui cara membantu kanak-kanak autisme.

Tambah beliau, kanak-kanak autisme mempunyai keupayaan untuk belajar tetapi pada fasa berbeza.

Fatimah menggesa ibu bapa berbincang untuk belajar antara satu sama lain dan saling menyokong dengan memberi kekuatan dari segi moral dan rohani.

Presiden Persatuan Autistik Sibu Thomas Ling berkata kira-kira 300,000 orang mempunyai autisme adalah kalangan 30 juta penduduk di Malaysia.

“Ramai daripada mereka tidak diterima bekerja terutama apabila mereka tidak didiagnosis awal dan menerima program intervensi,” katanya.

Ling berterima kasih kepada Fatimah, Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga serta Jabatan Kebajikan Masyarakat yang memberikan bantuan dari segi geran dan sokongan.

Persatuan Autistik Sibu menjalankan dua pusat di lokasi berbeza dengan Taska Autisme Sibu untuk kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah.

Manakala satu lagi pusat di Pusat Agape di Jalan Alan di sini untuk mereka yang berusia tujuh hingga 18 tahun.

Ling menjelaskan, Taska Austime Sibu disokong kerajaan manakala pusat di Pusat Agape dibiayai daripada kutipan dana hasil penganjuran pesta makanan dan sumbangan orang ramai.

“Menerusi perkhidmatan kami, kami berharap kehidupan akan lebih mudah kepada kanak-kanak dan keluarga mereka,” jelasnya sambil berharap ibu bapa tidak mudah berputus asa kepada kanak-kanak autisme.

Hadir sama Pengarah Taska Autisme Sibu Josephine Ting, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling, guru-guru dan kanak-kanak istimewa.