Sanjung Etika megah di singgahsana liga

0

KUCHING: Yayasan Sarawak – Sanjung Etika merampas kedudukan carta teratas Liga Samarahan 2015 selepas berjaya menumpaskan Puvilla United 6-1 pada aksi yang berlangsung minggu lepas.

Skuad pimpinan jurulatih terkemuka, Hassan Jahed itu kini mengumpul tujuh mata hasil dari dua kemenangan dan sekali seri.

Mengekori rapat Yayasan Sarawak, RG4 FC yang turut mengumpul tujuh mata hasil dari dua kemenangan dan sekali seri.

RG4 meneruskan aksi cemerlang pada minggu lepas dengan berjaya mengatasi Ocean Eagle FC Samarahan 3-2.

Juara bertahan, Sambir Bistari FC masih enggan mengalah dengan berada di kedudukan ketiga selepas mengumpul enam mata.

Pada perlawanan minggu lepas, Sambir Bistari berjaya menundukkan Team Kickalob FC 1-0.

Satu lagi pasukan yang berpeluang memintas kedudukan teratas adalah 10 RRD yang ketika ini menduduki tempat keempat namun masih berkelebihan satu perlawanan.

10 RRD ketika ini mengumpul empat mata hasil dari sekali menang dan seri.

Skuad yang menduduki tangga keenam hingga kelapan adalah Kapaku FC, Ocean Eagle FC Samarahan dan Puvilla United.

Saingan liga berehat pada minggu ini bagi memberi laluan kepada pusingan pertama Piala FA Samarahan 2015.

Yayasan Sarawak – Sanjung Etika akan menentang Puvilla United di Kompleks Sukan Samarahan manakala Sambir Bistari berdepan Kapaku FC di Kompleks Sukan Asajaya pada Sabtu (9 Mei).

Pada Ahad (10 Mei), RG4 FC akan menentang Ocean Eagle FC Samarahan di Kompleks Sukan Samarahan.

Satu lagi perlawanan melibatkan 10RRD dan Team Kickalob FC akan diputuskan selepas tarikh dan venue ditetapkan.