Didikan agama pandu anak capai masa depan cemerlang

0

MIRI: Usia lima hingga 12 tahun amat penting bagi perkembangan dan pembentukan seorang kanak-kanak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau.

Jelasnya. segala yang dipelajari dan dididik ketika itu bakal membayangkan masa depan mereka.

“Jika salah atau tidak cukup didikan terutamanya dari aspek keagamaan pada usia berkenaan, maka kelamlah masa depannya,” katanya pada perasmian Sekolah Minggu 3 Hari untuk Zon Baram yang diadakan di gereja Borneo Evangelical Mission (BEM) Long Laput baru-baru ini.

Menurutnya, ia adalah tanggungjawab semua pihak dalam masyarakat bagi memastikan kanak-kanak dalam usia berkenaan untuk mendapatkan ilmu keagamaan.

“Kerana tanpa pegangan agama kukuh dan didikan tidak sempurna, anak boleh hilang arah ketika dewasa nanti,” jelas Dennis.

Jelasnya,  ia adalah melalui pengalaman lepas  terutamanya pengalaman beliau membesar sekali gus membentuk kehidupannya sehingga kini.

Sebagai contoh paling baik katanya, Sekolah Minggu atau kelas keagamaan hujung minggu amat bermakna sebagai satu sumbangan secara langsung kerajaan terhadap pendidikan serta perkembangan rohani kanak-kanak.

Beliau turut berpesan supaya ibu bapa untuk tidak terlalu memikir hal duniawi semata-mata sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap kanak-kanak.

“Mereka (anak-anak) harus dipantau supaya tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat dan menyumbang kepada masalah sosial lain,” tambah Dennis.

Seramai lebih 200 kanak-kanak daripada Sembilan BEM Zon Baram mengambil bahagian dalam Sekolah Minggu berkenaan.

Majlis sama menyaksikan Dennis meluluskan permintaan untuk kerja baik pulih rumah Pastor gereja BEM Long Laput sebanyak RM10,000.

Selain itu, peruntukan RM 5,000 untuk jawatankuasa penganjur pertandingan nyanyian koir dan RM7,000 lagi untuk jawatankuasa Sekolah Minggu Zon Baram Tengah.

Turut hadir adalah Ketua Masyarakat Baram Temenggung Elizabeth Deng, Pengerusi Gereja BEM Baram Tengah Pastor Thomas Anyie dan Kaunselor Jaraw Braim.