Dua pelajar maut dalam kemalangan di Setiu

0

SETIU: Dua pelajar sekolah maut setelah motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 47, Jalan Pantai Kuala Terengganu-Kg Raja berhampiran Kampung Telaga Papan, di sini pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 pagi itu menyebabkan mangsa Fakhira Dalili Mohamad, 19, dan sepupunya Raja Nurul Nurdayana Raja Ahmad, 15 maut di tempat kejadian setelah sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan lain.

Ketua Polis Daerah Setiu DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata kenderaan yang dipandu lelaki berusia 21 tahun itu telah terbabas sebelum melanggar dua buah kereta iaitu Proton Satria Neo dan Proton Saga serta tiga buah motosikal.

“Kedua-dua pelajar sekolah terbabit ketika itu dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Penarik dan mereka mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Insiden itu juga turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal yang merupakan pelajar sekolah yang sama, Mohammad Firdaus Ibrahim, 16, patah tangan kiri selain dua lagi pelajar tingkatan tiga dan empat dari sekolah yang sama yang menunggang sebuah motosikal juga mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Bagaimanapun ketiga-tiga pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Pantai, Setiu telah dihantar ke Hospital Setiu untuk dibedah siasat manakala tiga lagi mangsa turut dirawat sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Sementara itu, di Dungun seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terhumbam ke dalam tali air di Kilometer 7, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Loji Air Serdang, di sini pagi semalam.

Ketua Polis daerah, Supt Ahmad Zailani Yaacub berkata mayat mangsa Law Ah Kam, 51, berasal dari Selangor ditemui oleh seorang pengurus ladang kira-kira jam 9 pagi semalam.

Menurutnya insiden tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 2 pagi semalam bagaimanapun ia tidak disedari orang ramai berikutan kenderaannya itu terhumban ke dalam parit sedalam lima meter.

“Ketika kejadian, mangsa yang memandu bersendirian dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Bukit Besi sekembalinya dari makan malam di Bandar Dungun.

“Kita percaya mangsa terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh tembok jambatan lalu terhumban ke dalam tali air,” katanya ketika dihubungi.

Mayat mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat. — Bernama