Saturday, April 20

Perak Academy lancar empat buku ditulis anak jati Perak

0

IPOH: Perak Academy melancarkan empat buku yang ditulis anak jati Perak, bagi merancakkan industri penulisan selain mempromosi Perak menerusi penerbitan buku.

Buku berkenaan ialah ‘Cell Wars’ ditulis oleh Dr Teoh Soong Kee, ‘Epiphany’ oleh Jasemin Sibo, ‘When Footsteps Merge’ oleh Eu Yoke Lin, dan ‘Made in Malaysia’ oleh Alexandra Wong.

Pemangku Pengerusi Perak Academy Chan Kok Keong berkata kesemua penulis berkenaan mempunyai latar belakang profesion yang berbeza, tetapi mempunyai minat mendalam dalam aktiviti penulisan terutama membabitkan pengalaman dalam kerjaya masing-masing.

“Kali ini keempat-empat individu ini menulis dengan mengunakan pengalaman masing-masing termasuk sebagai seorang yang telah lama dalam bidang perubatan dan kejururawatan.

“Kita berasa bangga kerana mereka adalah anak jati Perak dan usaha mereka dalam bidang penulisan dikenali di beberapa tempat di luar negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kesemua buku tersebut di Kong Heng Square di sini, kelmarin.

Majlis dirasmikan kartunis terkenal tanah air Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.

Bagi penulis buku ‘Epiphany’, Jasemin, 37, berkata beliau sangat gembira kerana Perak Academy sudi mempromosi bukunya yang telah mendapat jualan memberangsangkan di Internet seperti Amazon.com yang dijual sejak tahun lepas.

Beliau berkata bukunya yang ditulis sejak 10 tahun lalu merupakan kisah benar mengenai hubungan cinta remaja yang sebahagiannya adalah melalui pengalaman sendiri.

“Saya seorang penulis yang suka mengembara. Jadi apabila mengembara saya berpeluang mengenali ramai rakan dari pelbagai negara dan mereka sudi berkongsi tentang kisah percintaan mereka untuk dimuatkan dalam buku ini.

“Objektif utama buku ini adalah untuk mendorong remaja supaya tidak mudah putus asa dan menjadi inspirasi dalam memupuk kasih sayang bukan sahaja terhadap pasangan malah terhadap keluarga dan sahabat,” katanya.

Sementara itu, penulis buku ‘Made in Malaysia’, Alexandra Wong, 40, berkata beliau telah menulis buku itu sejak sembilan tahun lepas dan ia merupakan pengalaman beliau berdepan dengan rakyat Malaysia termasuk penjual kuih, cikgu, pemandu bas dan pelbagai lapisan masyarakat. — Bernama