Program MEMBARA Semarak Kejiranan memeriahkan Rumah Dana Radeng

0

Oleh Watt Zacchaeus //

DARIPADA JASA: Dana (lima kiri) menerima sumbangan periuk nasi gas daripada JASA yang disampaikan oleh Stanley.

RUMAH Dana Radeng di Bukit Penyau, Jalan Salim di Sibu telah dipilih menjadi venue Program MEMBARA Semarak Kejiranan Parlimen P.211 Lanang, baru-baru ini.

Program ini merupakan anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Dana.

Temenggung Stanley Geramong yang merupakan temenggung masyarakat Iban Bahagian Sibu telah merasmikan program tersebut selaku tetamu kehormat.

Hadir sama ialah Kaunselor Pasang Ngelambai, Kaunselor Mann Jalaieng, Penyelaras Parlimen P.211 Lanang Wilma Stanley Geramong, Pembantu Luar Kanan N.45 Bukit Assek Jeanie Rohana Abit, Tuai Rumah Dana serta masyarakat setempat.

Program MEMBARA dilaksanakan di 222 Parlimen di seluruh Malaysia.

Untuk bulan April, tema program ialah ‘Semarak Kejiranan’, iaitu penganjuran aktiviti gotong-royong atau mengadakan sukan rakyat di lokaliti dalam daerah mengundi yang terpilih.

Objektif program ialah untuk merapatkan hubungan silaturahim antara para penduduk di Bukit Penyau dengan agensi kerajaan serta memulihara landskap dan membersihkan kawasan rumah panjang agar lebih terjamin kebersihan persekitarannya.

Selain aktiviti gotong-royong, JASA turut menyumbangkan periuk nasi gas kepada JKKK Rumah Dana.

Bantuan ini walaupun kecil namun amat bermakna lebihlebih lagi rumah panjang ini pernah mengalami kebakaran pada bulan 26 September 2013.

Simbolik perasmian program ini ialah acara menanam pokok ru yang disempurnakan oleh Stanley serta para tetamu kehormat yang lain.

Program kali ini melibatkan penduduk setempat dari empat buah rumah panjang di kawasan Bukit Penyau yang merangkumi Rumah Cosma, Rumah Andrew Jalin, Rumah Edward Kasin dan Rumah Dana.

Keempat-empat buah rumah panjang ini adalah di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan terletak di DUN N.45 Bukit Assek.

DUN Bukit Assek mempunyai 12 buah rumah panjang Iban.

Program turut diselitkan dengan cabutan tiket bertuah.