Ambulans hospital Sri Aman terbakar

0

TERBAKAR: Ambulans Hospital Sri Aman tiba-tiba terbakar semasa dalam perjalanan semalam.

SRI AMAN: Sebuah ambulans milik Hospital Sri Aman tiba-tiba terbakar ketika di simpang jalan masuk Jabatan Meteorologi Sri Aman pada jam 1 .30 petang semalam.

Enam anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman diketuai PBKII Jilin Itar bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja memadam kebakaran.

Menurut jurucakap BBP Sri Aman, sebelum kejadian ambulans itu dalam perjalanan ke Lubok Antu tetapi tiba-tiba rosak di kawasan Kem Tentera Darat Pakit.

Berikutan itu pemandu ambulans tersebut menghubungi bengkel untuk menunda ambulans ke bandar Sri Aman untuk dibaiki.

“Bagaimanapun ketika tiba di simpang masuk Jabatan Meteorologi Sri Aman, ia mengeluarkan asap lalu terbakar.

“Pemandu ambulans berusia 36 tahun sempat menyelamatkan diri,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Katanya hanya pemandu berkenaan yang berada di dalam ambulans ketika kejadian itu berlaku.

Menurutnya lagi,  bomba mnerima panggilan tentang kejadian pada jam 1.36 petang dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 2.10 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan punca kejadian masih disiasat,” katanya.