Terputus hubungan

0

HANYUT: Beberapa jambatan dibina menggunakan kayu dihanyutkan arus dan mengakibatkan sistem perhubungan terputus.

Penduduk Sungai Ipoh Hulu Julau, Pakan minta jalan yang rosak sekian lama dibaiki segera.

Oleh Kepu Sidi //

MUSNAH: Jambatan menyeberangi Sungai Rusa, Pakan musnah dihanyut air.

PAKAN: Sekitar 1,000 penduduk termasuk warga pendidik bergantung kepada kemudahan jalan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kara hingga ke SK Kota merangkumi Hulu Kota dan Hulu Abau kini dibelenggu masalah sistem perhubungan yang serius dan memerlukan penyelesaian segera.

Tuai Rumah Saban, Sungai Ipoh Hulu Julau Pakan berkata, jalan yang menjadi nadi utama perhubungan penduduk dari kawasan tersebut rosak akibat musim tengkujuh berpanjangan sejak penghujung tahun lalu dan menjadi lebih teruk pada Januari tahun ini.

“Pada Januari, situasi itu menjadi lebih parah apabila jalan raya sepanjang kira-kira enam kilometer itu runtuh di beberapa tempat, manakala beberapa jambatan kayu dan pembetung (culvert) yang dibina telah rosak dihanyutkan air.

“Salah sebuah jambatan besi dibina merentasi Sungai Ipoh pula tidak selamat dilalui kerana struktur asasnya terhakis dan runtuh.

“Keadaan ini memaksa kehidupan kami di pedalaman menjadi lebih sukar dan kos kehidupan semakin meningkat khususnya apabila hendak ke bandar Sarikei membawa hasil pertanian bagi menampung kehidupan harian,” katanya di sini semalam.

Jalan tanah terbabit merupakan nadi utama penduduk dari lima rumah panjang dan dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kara dan SK Kota.

Menurut Tuai Rumah Saban, penduduk telah membuat laporan kepada pihak berkaitan sejak masalah tersebut membelenggu mereka namun sehingga hari ini tiada sebarang usaha mengatasinya.

Tambahnya, selain membuat laporan secara bertulis bersama laporan terperinci, penduduk turut berjumpa dengan pihak berkaitan untuk mengemukakan masalah itu.

“Masalah itu mendatangkan seribu satu kesukaran kepada penduduk. Lebih menyedihkan nasib anak-anak kami yang menuntut di dua sekolah terbabit.

“Sejak jalan terbabit rosak, ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka dengan berjalan kaki dan menggunakan motosikal sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

TIDAK SELAMAT: Jambatan besi Sungai Ipoh tidak selamat digunakan.

“Bagi anak-anak yang bersekolah di tadika pula, sekiranya hujan turun pada masa sesi persekolahan mereka terpaksa ponteng kerana jalan yang dilalui amat berbahaya.

“Paras air sungai diredah untuk ke sekolah menjadi tinggi, berbahaya dan deras manakala jalan yang hanya dapat dilalui menggunakan motosikal, berlumpur dan licin,” katanya.

Sejak jalan terbabit rosak dan tidak dapat dilalui penduduk terpaksa menggunakan alternatif lain iaitu jalan lama yang juga tidak kurang teruknya, tetapi masih mampu  dilalui dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

“Jika menggunakan jalan lama terpaksa memakan masa lebih jauh jaraknya dan berbukit bukau, jika dibandingkan dengan jalan rosak itu.

“Perbezaan paling ketara bagi kedua-dua jalan itu adalah jika hendak ke Sarikei, jarak masa harus ditempoh adalah memakan masa perbezaan satu jam.

“Dari jalan rosak itu ke Sarikei hanya mengambil masa lebih kurang dua jam manakala menggunakan jalan lama ke Sarikei memakan masa lebih kurang tiga jam atau lebih bergantung kepada keadaan cuaca.

“Sekiranya hujan turun dan paras air sungai yang dilintasi naik, kami terpaksa membatalkan niat kerana laluan ditempuhi tidak mempunyai kemudahan jambatan,” jelasnya.

Apatah lagi dengan sambutan Hari Gawai bakal menjelang tidak lama lagi, ramai penduduk mengharapkan masalah yang membelenggu mereka itu dapat diselesaikan segera.

Selain itu, jambatan gantung menyeberangi Sungai Rusa yang merupakan penghubung utama Rumah Guyang Mun berhampiran lokasi yang sama turut musnah dan memerlukan penyelesaian.

Sehubungan itu, penduduk berharap pihak yang bertanggungjawab memainkan peranan mereka membantu menyelesaikan masalah ini.