Pasukan wanita Brunei bakal bersaing pada Cabaran Ekstrem 4×4 Padawan

0

KUCHING: Sebuah pasukan wanita dari Negara Brunei Darussalam antara 60 pasukan yang bakal berentap pada Cabaran Ekstrem Kenderaan Pacuan Empat Roda Antarabangsa Padawan 2015 dari 22 hingga 24 Mei ini.

Pengerusi penganjur Wilfred Yap berkata penyertaan kumpulan itu pastinya akan menjadikan kejohanan sukan ekstrem yang dianjurkan buat julung kali oleh Majlis Perbandaran Padawan (MPP) itu lebih menarik.

“Saya pasti mereka ini akan memberi cabaran sengit kepada peserta terutama bagi kategori C.

“Pasukan ini adalah antara 60 pasukan yang akan mengambil bahagian daripada Thailand, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Semenanjung Malaysia dan Sabah yang sudah pun mengesahkan penyertaan mereka pada cabaran pertama seumpamanya di Sarawak,” ujarnya pada sidang media di sini semalam.

Menurut Yap lagi, program yang berlangsung di Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS) dianjurkan bersama Persatuan Automobil Malaysia (AAM), badan bertanggungjawab kepada sukan permotoran di Malaysia.

Katanya lagi, ketika ini persiapan akhir di lokasi hampir siap, meliputi kemudahan serta fasiliti diperlukan untuk sukan berkenaan selain aspek keselamatan.

MPP, katanya, selaku penganjur utama bagi acara bersejarah itu akan memastikan laluan perlumbaan memberi peluang terbaik kepada peserta untuk mempamerkan kehebatan masing-masing bersaing membabitkan jentera dan cabaran alam semula jadi.

“Peserta akan merentasi sungai, mendaki dan menuruni bukit, batu… pendek kata permukaan bumi yang cukup mencabar,” jelas beliau.

Sementara itu, katanya, penganjur akan memastikan orang ramai yang datang menyaksikan cabaran itu mempunyai tempat letak kereta mencukupi.

“Keselamatan kenderaan adalah terjamin kerana penduduk kampung terlibat akan menjaganya dengan bayaran minimum,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang dan beberapa ahli majlis lain selaku ahli jawatankuasa kecil Cabaran Ekstrem Kenderaan Pacuan Empat Roda Antarabangsa Padawan 2015.