Anggaran jumlah dapat dijimatkan semua syarikat bas yang melalui Jambatan Lanang dalam setahun
Oleh Reno Benjamin //
SIBU: Semua syarikat bas di Sarawak yang melalui Jambatan Lanang dianggar mampu menjimatkan sehingga RM300,000 setahun selepas bayaran tol di jambatan terbabit dimansuhkan berkuat kuasa 25 Mei ini.
Pemansuhan bayaran tol itu juga sedikit sebanyak dapat mengurangkan kos operasi syarikat bas sekali gus mengimbangi kos operasi yang semakin meningkat dan jumlah penumpang semakin berkurangan.
Pengerusi Persatuan Syarikat Bas Sarawak Lau Khing Seng berkata, syarikat bas terpaksa berjimat cermat setiap masa agar dapat terus beroperasi dalam industri perkhidmatan bas yang semakin suram.
“Bagi Syarikat Bas Lanang, kami menjangka dapat jimat kira-kira RM10,000 setahun memandangkan kami mempunyai tiga bas melakukan perjalanan dua kali sehari ke Kuching dan bayaran tol bagi satu laluan ialah RM8.
“Namun jika semua syarikat bas melalui jambatan ini, kami menganggar dapat jimat antara RM200,000 hingga RM300,000 setahun,” ujar pengarah urusan Syarikat Bas Lanang itu.
Naib Presiden Persatuan Pengusaha Bas Pan Malaysia itu memberitahu, sejak 10 tahun lepas, lebih 10 syarikat bas di Sarawak telah berhenti operasi berikutan penumpang yang semakin kurang dan kesukaran mendapatkan pemandu.
Menurut Lau, pemansuhan bayaran tol di Jambatan Lanang merupakan satu langkah baik bagi komuniti perniagaan termasuk orang ramai.
Namun pada masa sama katanya, pemansuhan tol itu dilihat akan meningkatkan lagi aktiviti kereta sapu melalui jambatan terbabit bagi mendapatkan penumpang di seberang bandar ini.
“Selain itu, orang ramai juga lebih suka menggunakan kenderaan sendiri daripada menggunakan bas. Oleh itu, jumlah penumpang bas dijangka terus berkurangan.
“Jika sebelum ini tidak berbaloi bagi kereta sapu menghantar seorang dua penumpang ke seberang, namun kini dengan pemansuhan tol, semua itu bukan penghalang kepada mereka,” tegas Lau.
Lau turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Shin Yang Datuk Ling Chiong Hoe atas pemansuhan tol terbabit.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pemilik Teksi Sibu Robert Angkah menyifatkan pemansuhan bayaran tol di Jambatan Lanang merupakan satu berita yang menggembirakan semua pihak termasuk pengusaha teksi.
“Kami pengusaha teksi dapat jimat RM6 dan jumah itu boleh menjadi jumlah yang banyak apabila kami menggunakan jambatan ini beberapa kali setiap tahun,” ujarnya.
Menurutnya, pengusaha teksi terpaksa menanggung bayaran tol RM6 dan tidak pernah mengenakan bayaran itu kepada penumpang.
Pengguna melalui Jambatan Lanang dikenakan bayaran iaitu RM0.50 bagi pengguna motosikal, kereta, teksi dan MPV (RM3), van, bas mini, lori pikuap, SUV dan trak ringan (RM5), bas (RM8), lori (RM15) dan treler (RM25).
Bagaimanapun bayaran tol di jambatan ini akan dimasuhkan berkuat kuasa 25 Mei ini selepas jambatan itu dibuka sejak sembilan tahun lepas kepada orang ramai.