Empangan Baram dan Baleh akan dibina serentak, kata Torstein

2

KUCHING: Syarikat pembekal tenaga, Sarawak Energy Berhad (SEB) akan membina empangan kuasa hidroelektrik (HEP) Baram dan Baleh secara serentak bagi meningkatkan aktiviti penjanaan kuasa selain memenuhi keperluan dalam projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Malah, melalui pembinaan itu juga, ia dijangka akan membuka peluang pekerjaan kepada seramai dua juta penduduk menjelang 2030 selain menarik aktiviti pelaburan sehingga kira-kira RM300 juta.

Mendedahkan perkara tersebut baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Datuk Torstein Dale Sjotveit selain itu berkata, untuk tujuan pembangunan kedua-dua projek itu, Laporan Penilaian Impak Persekitaran dan Sosial (SEIA) telah dihantar, bagaimanapun hanya HEP Baleh yang baharu menerima pengesahan daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB).

“SEB akan membangunkan kedua-dua projek ini secara serentak. SEIA telahpun dihantar, cuma setakat ini, kita baharu menerima pengesahan untuk pembangunan HEP Baleh daripada pihak NREB,” katanya.

Torstein, yang kini berada di Beijing bagi mengetuai delegasi SEB ke Kongres Kuasa Hidro Dunia 2015 memberitahu, kedua-dua empangan itu dijangka akan siap sepenuhnya menjelang 2023 atau 2024 tetapi masih belum ada kata putus sama ada pembangunannya akan dimulakan bermula tahun ini.

Empangan Murum adalah kurang daripada 100 kilometer (km) dari Empangan Bakun, sementara jarak dari Bakun ke Empangan Baleh yang dicadangkan juga adalah kurang daripada 100km.

Ketika ditanya mengenai kajian seismologi (tentang gempa bumi) yang telah dijalankan terutama untuk HEP Baleh, Torstein mengesahkan bahawa tidak ada sebarang kajian yang dijalankan ke atas kedua-dua pembangunan empangan itu dan tidak ada sebarang keperluan untuk dijalankan kajian.

“Ini jelas sekali menunjukkan bukan isu yang relevan. Kajian seismologi tidak diperlukan dalam pembangunan ini dan juga tidak ada kena-mengena.

“Untuk lebih jelas, adakah satu empangan atau lebih empangan yang dibina, ia tidak akan mengakibatkan gempa bumi,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How menggesa Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengambil tindakan segera dengan mengarah SEB dan NREB mengiklankan kajian SEIA yang dijalankan ke atas Empangan Baleh dan projek HEP Baleh selain proses perundingan umum sebelum membenarkan sebarang kerja pembinaan atau pembangunan ke atas kedua-dua projek berkenaan.

Jelas See, Adenan juga harus mengarahkan kajian seismologi dijalankan bagi mengenal pasti kesan pembangunan empangan itu terutama berhubung keselamatan populasi penduduk yang tinggal di kawasan bawah empangan, khususnya dari Belaga dan Kapit hingga ke muara Batang Rajang.

“Sementara negeri ini mungkin mendapat galakan daripada faedah ekonomi yang diperolehi hasil daripada projek pembanguan HEP itu, kita juga harus ingat mengenai risiko kerosakan yang tinggi dan kehilangan nyawa serta harta benda seperti yang dialami negara lain yang disebabkan oleh kerosakan empangan besar,” jelasnya menerusi kenyataan akhbar, semalam.