Pacu kegemilangan pendidikan Sarawak

0

BINTULU: Semangat dan usaha gigih menjulang pendidikan Sarawak akan diteruskan bagi melonjak bidang pendidikan negeri ini setaraf negeri lain supaya dapat memberi sumbangan positif bukannya negatif.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, justeru warga pendidik berperanan sebagai ejen penggerak serta pendukung pembangunan pendidikan negara.

“Guru  perlu sentiasa memupuk keupayaan diri dan pengalaman membangun potensi insan melalui elemen kerohanian dan kurikulum, menyedia kepelbagaian bahan rangsangan bagi mengoptimum potensi murid serta menyedia pembangunan individu menyeluruh melahir insan bertaraf dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada pelancaran sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak 2015 oleh Menteri Pelancongan dan Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Dewan Suarah Bintulu, semalam.

Katanya dasar transformasi pendidikan negara menerusi pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berhasrat melonjak taraf pendidikan negara setanding dengan pendidikan peringkat global.

“Perkara ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa penglibatan dan sokongan guru yang berada di barisan hadapan,”katanya.

Menurutnya, transformasi pendidikan itu perlu bermula di bilik darjah melalui pelaksanaan guru sekali gus menggesa guru memahami dan menghayati perancangan PPPM.

Beliau berkata pemacu kepada berlakunya pelaksanaan PPPM ialah elemen kreativiti serta inovasi maka atas sebab itu tema perayaan Hari Guru tahun ini memilih tajuk ‘Guru:Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’.

Ujarnya, persaingan global memerlukan kita memantap bidang pendidikan dengan melaksanakan program transformasi pendidikan negara melalui PPPM.

Katanya,’ tanpa melakukan perubahan tidak mungkin kita dapat melonjak ke hadapan yang sekali gus memerlukan kita bersedia melaksanakan perubah-perubahan itu.

Beliau turut memaklumkan mengenai 60 guru besar negeri ini mempamer keupayaan memimpin sekolah masing-masing dengan mencapai prestasi cemerlang pada 2014 mendapat Anugerah Tawaran Baharu Kementerian Pendidikan Malaysia pada 12 Mei lalu daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan De’ Seri Endon Puspanitapuri Putrajaya.

Selain itu beliau turut memperkatakan mengenai pencapaian akademik dan sukan negeri ini apabila Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Sarawak mempertahan kejuaraannya kali ke-19  dengan lima rekod baharu dipecahkan oleh Grace Wong Xiu Mei (tukul besi, lempar cakera dan lontar peluru), Samuel Ling Sing Yi (lontar peluru) dan Quek Lee Yong (400 meter lari berpagar).