Zecon Berhad diseru menghapuskan tol di Kuching

0

Oleh Mahathir Haroun//

 

BERI PENERANGAN: Ripin (duduk tengah) bersama pemimpin Pergerakan Pemuda PBB yang lain ketika sidang media.

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching menyeru Zecon Berhad (Zecon) mencontohi syarikat konsesi Jambatan Lanang dengan menghapuskan tol.

Pengerusinya Datuk Wan Hamzah Wan Paie berkata, penghapusan tol perlu demi kepentingan rakyat dan pihaknya percaya syarikat terbabit sudah memperolehi pulangan daripada pelaburan.

“Kami (Pergerakan Pemuda PBB Zon Kuching) membawa cadangan Pemuda Cawangan khasnya Pantai Damai, Demak Laut, Samariang dan Tupong menyeru agar Zecon Berhad mencontohi syarikat konsesi Jambatan Lanang,” katanya menerusi kenyataan yang dibacakan oleh Ketua Pemuda PBB Cawangan Tupong Shahrazi Edwin Abdullah.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda PBB Sarawak berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem atas usaha dan kejayaan rundingan bersama syarikat pemegang konsesi tol Lanang.

“Tol di Jambatan Lanang dimansuhkan berkuat kuasa 25 Mei lepas dan Jambatan ASEAN dijangka akan dimansuhkan pada bulan Jun.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat Woodville Development Sdn Bhd kerana sanggup mengetepikan hak mereka bagi mengutip tol dan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan memansuhkan perkhidmatan ini (tol),” ujarnya.

Beliau berkata, ia menunjukkan usaha berterusan Ketua Menteri dalam meneruskan transformasi pembangunan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat.

“Kita sedia maklum rundingan ini telah diadakan dahulu oleh Ketua Menteri dan seperti biasa DAP mengambil kesempatan untuk menempah nama atas usaha dan kejayaan Ketua Menteri,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda PBB Ripin Lamat menjelaskan, DAP seperti tiada modal kerana selalu ambil kredit dan mengambil kesempatan daripada usaha Ketua Menteri.

“Ia termasuk pembalakan haram dan pemansuhan tol. Mereka seperti tiada modal,” kata Ripin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir percaya usaha DAP itu tidak akan memberi kesan kepada rakyat negeri ini.

Hadir sama Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda PBB Fazruddin Abdul Rahman dan Bendahari Pergerakan Pemuda PBB Hamzah Ibrahim.