Anak perantau pulang ke kampung sambut Gawai

0

TA00541Perayaan yang ditunggu-tunggu masyarakat Dayak untuk bertemu keluarga dan sanak-saudara

Oleh Hamimi Kassim //

KUCHING: Pada 1 Jun, seluruh masyarakat Dayak di Sarawak menyambut perayaan Gawai sebagai tanda berakhirnya musim menuai.

Bagi anak Dayak yang mencari nafkah di bandar raya ini, tarikh tersebut merupakan masa paling ditunggu-tunggu untuk mereka pulang ke kampung halaman bertemu dengan keluarga dan sanak-saudara.

Tinjauan Utusan Borneo di Kuching Sentral semalam menyaksikan masih ramai antara mereka menunggu saat pulang menggunakan bas awam dari Kuching ke bahagian dan daerah lain dalam negeri ini.

Dengan suasana penuh sesak dan riuh, kelihatan ada yang masih menunggu waktu perjalanan dan ada juga sedang mendapatkan tiket pulang.

Sementara itu, suasana di pasar raya dan kedai menjual barangan keperluan turut dipenuhi masyarakat berbilang kaum untuk membeli barangan keperluan.

Bagi Anna Santang, 20, ketibaan Gawai ditambah cuti sekolah dan hujung minggu menjadikannya lebih sesak dan semakin meriah.

Malah katanya, bahang perayaan semakin memuncak memandangkan ramai keluarga khasnya suri rumah membuat persiapan untuk hidangan semasa Gawai.

Menurutnya tidak kira kaum, agama dan bangsa memanfaatkan peluang yang ada untuk mendapatkan promosi istimewa daripada makanan hinggalah kepada pakaian serta perabot kelengkapan rumah.

“Selain promosi dan tawaran istimewa, semangat mendapatkan barangan segar untuk dihidang dan disediakan kepada keluarga menjadikan kedai dan pasar raya dipenuhi orang ramai.

“Jika bukan waktu sebegini, bila lagi? Pastinya tidak meriah Gawai,” katanya.

Sementara Robert Tian, 34, perayaan Gawai tahun ini disambut dengan penuh kemeriahan memandangkan mereka sekeluarga akan pulang ke kampung halaman.

“Disebabkan terdapat tugasan perlu diselesaikan, kami sekeluarga terpaksa pulang pada saat akhir,” ujarnya.

Beliau yang memandu sendiri ke Sarikei berharap semua pengguna jalan raya khususnya masyarakat Dayak lebih berhati-hati di jalan raya.

“Selain masa ini, diharapkan semasa perayaan nanti juga masyarakat yang menyambut Gawai dapat menjaga keselamatan diri terutamanya mereka berkunjung ke rumah sanak-saudara mengguna pengangkutan jalan raya,” tambahnya sambil menasihati mengelak minuman keras secara berlebihan sehingga memudaratkan diri dan orang lain.

Sementara itu Mirus Midin, 30, melahirkan rasa teruja dan gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh masyarakat berbilang kaum di negeri ini semasa musim perayaan.

“Tidak kira kaum dan agama, semuanya sama-sama memanfaatkan musim perayaan dan memeriahkannya dengan amalan kunjung-mengunjung,” jelasnya.