DUBS Sibu prihatin hulur bantuan keluarga Tunggok

0

SIBU: Sikap prihatin Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Sibu menjadikan sambutan Hari Gawai Dayak lebih bermakna tahun ini kepada keluarga Tunggok Jelian di Kampung Seduan Jaya, Batu 6, Jalan Oya di sini semalam apabila mereka menerima sumbangan berupa atap zink dan dinding baru untuk rumah mereka.

“Ini adalah hadiah Hari Gawai Dayak paling bermakna bagi kami disumbangkan oleh DUBS Sibu.

“Bagi kami, tidak ada lebih sempurna dalam hidup ini selain mempunyai rumah yang selesa.

“Sejak tujuh tahun lalu, kami mengalami kesusahan setiap kali musim hujan kerana keadaan atap rumah bocor teruk,” kata Tunggok ditemui ketika menerima sumbangan tersebut.

Sumbangan zink dan dinding ditaja DUBS Sibu disampaikan oleh Penaungnya, Dr Annuar Rapa’ee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka.

Pengerusi DUBS Sibu, Khairul Nasir Abdullah dan ahli-ahli lain turut hadir menyaksikan penyerahan tersebut.

“Saya ingin menyatakan setinggi-tinggi terima kasih kepada DUBS Sibu yang prihatin bersama Dr Annuar dan Khairul.

“Kebaikan dan kemurahan mereka akan saya dan keluarga kenang sampai bila-bila,” katanya dengan gembira.

“Saya tidak dapat membayangkan meraikan Hari Gawai Dayak dengan bumbung yang bocor teruk seperti apa yang kami lalui sejak tujuh tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Khairul berkata sumbangan diberikan kepada keluarga Tunggok adalah sebahagian projek komuniti mereka membantu insan yang memerlukan dalam masyarakat di sini.

“Bantuan yang kami hulurkan adalah dalam bentuk asas yang kami mampu dengan harapan mereka dapat meraikan Hari Gawai selesa dan ukiran senyuman tanpa memikirkan masalah dihadapi.

“Selain itu, kita juga akan melakukan perkara yang sama pada bulan puasa dan Hari Raya nanti,” katanya.