Kerajaan rangka usaha bantu rakyat miliki rumah

0
HARGA BERPATUTAN: Abang Johari menunjukkan harga RMR1M sambil disaksikan tetamu lain.

HARGA BERPATUTAN: Abang Johari menunjukkan harga RMR1M sambil disaksikan tetamu lain.

Lebih banyak rumah dibina di tanah HDC, sekali gus turunkan harga rumah yang agak tinggi sekarang

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Kerajaan negeri akan membina lebih banyak rumah di tapak tanah milik Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi membolehkan pemaju mengurangkan harga rumah yang agak tinggi sekarang.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, harga rumah yang naik sehingga 70 peratus adalah tidak munasabah.

Menurutnya, pada masa sekarang permintaan untuk rumah semakin meningkat dan kerajaan negeri perlu merangka usaha untuk membolehkan rakyat membeli rumah.

“Pada masa sekarang golongan pertengahan juga sukar untuk membeli rumah kerana ada di antara rumah teres dijual dengan harga RM400,000 setiap unit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Muara Tebas semalam.

Abang Johari menjelaskan, Kementerian Perumahan merancang untuk membina rumah di tapak tanak milik HDC dengan menggunakan sistem modular dan ABS.

“Kita akan ambil alih peruntukan 30 peratus yang diberikan kepada pemaju sekiranya rumah kos rendah tidak mampu dilaksanakan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kerajaan juga merancang untuk membuka kawasan baharu agar lebih ramai rakyat yang tidak memiliki rumah dapat ditempatkan di satu kawasan.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, terdapat 61 unit RMR1M akan diwujudkan di Muara Tebas.

“Penduduk hanya perlu membayar sekitar RM170 setiap bulan dalam tempoh 25 tahun dan ia amat berpatutan kerana turut merangkumi kos premium tanah dan infrastruktur,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan menjelaskan, kawasan Semenanjung Bako akan mengalami transformasi dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“Antara perancangan kerajaan termasuk mewujudkan pembangunan bercampur merangkumi pembinaan bandar baharu,” kata Abang Johari.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Abdul Latiff Ahmad, Pengerusi Daya Builders Sdn Bhd Dr Abdul Rahman Junaidi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.