Nahas kereta-lori: dua terbunuh, tiga kanak-kanak parah

0
TA00539

NGERI: Kemalangan maut yang berlaku berhampiran simpang Pakan, semalam.

BINTANGOR: Dua wanita terbunuh, manakala tiga kanak-kanak parah selepas kereta Proton Saga yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan berhampiran simpang Pakan, Jalan Sarikei-Sibu pada jam 11 pagi semalam.

Kedua-dua mangsa, iaitu pemandu kereta berusia 30-an maut di tempat kejadian, manakala ibu mentuanya, 60-an, yang juga penumpang bahagian hadapan meninggal dunia di hospital berhampiran.

Tiga mangsa kanak-kanak yang parah berusia lapan sehingga 13 tahun.

Mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan dari Sibu ke Sarikei, manakala lori terbabit datang dari arah bertentangan.

Pemandu lori dilaporkan hanya cedera ringan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor ketika dihubungi berkata, mereka menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.10 pagi.

“Sebuah jentera bersama anggota telah dikerah ke lokasi kejadian sebaik sahaja panggilan kecemasan diterima.

“Bomba mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kereta,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis turut mengesahkan menerima laporan kemalangan itu dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.