SUHAKAM gesa kerajaan tegas perangi penyeludupan manusia

0

KUCHING:Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) khuatir dengan laporan berita tempatan mengenai penemuan tapak perkuburan mayat pendatang asing dalam negara.

Pemangku Pengerusi SUHAKAM, Datuk Dr. Law Lake Tee menjelaskan, pemerdagangan manusia merupakan pelanggaran hak asasi manusia dahsyat ditambah pula ketiadaan undang-undang dan polisi mencukupi.

Katanya, ia menjadi lebih teruk untuk dikekang apabila kekurangan penguatkuasaan undang-undang, sempadan senang dibolosi, kegagalan mendakwa pesalah pemerdagangan manusia dan subahat penjawat awam yang mengambil rasuah.

“SUHAKAM bimbang walaupun terdapat undang-undang  komprehensif di Malaysia bagi memerangi pemerdagangan manusia, khususnya Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, kes  pemerdagangan dan penyeludupan migran semakin meningkat,” katanya.

Law menjelaskan, SUHAKAM kecewa dengan tindakan Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO) yang tidak mengambil peluang menasihat kerajaan mengenai langkah wajar bagi menangani isu termaktub dalam Artikel 3 Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

“SUHAKAM mahu mengingat bahawa kerajaan Malaysia bertanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa bertindak bagi mencegah, menyiasat dan mendakwa pemerdagangan manusia termasuk membantu serta melindungi mangsa pemerdagangan,” katanya.

Katanya, SUHAKAM menyarankan supaya diadakan kerjasama dua hala antara Malaysia dan negara asal mangsa pemerdagangan, serta usaha serantau bertujuan meningkat kerjasama mencegah, menyekat dan menghukum pemerdagangan orang.

Dr Law juga mengesyor supaya diwujud kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan yang boleh membantu mangsa pemerdagangan di Malaysia.

Bahkan beliau mencadangkan supaya mangsa pemerdagangan dibenarkan bekerja dan tinggal di luar fasiliti kerajaan.

Beliau menggesa supaya pihak berkuasa bersungguh-sungguh mengenal pasti dan menghapus penglibatan atau persubahatan sektor awam dan swasta dalam pemerdagangan orang.

“Dengan itu, penguatkuasaan dan atau penjawat awam serta individu disyaki terbabit dalam pemerdagangan manusia haruslah segera disiasat, dibicarakan dan jika didapati bersalah, dikenakan hukuman yang setimpal.

“SUHAKAM menggesa pihak berkuasa mengambil langkah positif mengenal pasti, membeku dan menyita aset individu dan individu  terlibat dalam urusan pemerdagangan orang.

“Aset yang dirampas boleh diguna membantu dan membayar pampasan kepada mangsa pemerdagangan,” jelasnya lagi.

Dr Law turut mendesak kerajaan menyertai Konvensyen Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka 1990 dengan Status Pelarian 1951 serta Protokol Berkenaan dengan Status Pelarian 1967 sebagai inisiatif menunjukkan kesungguhan memerangi pemerdagangan manusia atau penyeludupan migran.

Tambahan pula, walaupun Malaysia meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menentang Jenayah Terancang Merentasnegara pada tahun 2004 dan menerima pakai Protokol PBB untuk Mencegah, Menyekat dan Menghukum Pemerdagangan Orang, Terutama Wanita dan Kanak-kanak pada tahun 2009,

SUHAKAM mengesyor penyertaan kepada Protokol PBB menentang penyeludupan migran melalui darat, laut, dan udara, menuntut menyedia garis panduan jelas dalam mengenal pasti, mencegah termasuk mendakwa pemerdagangan orang.

Kata Dr Law, SUHAKAM turut menekan mencegah, mengenal pasti, dan membantu mangsa pemerdagangan memerlukan pendekatan multisistem bersepadu dan menyarankan supaya siasatan bebas dengan tujuan menjadikan perdagangan manusia sebagai salah satu agenda politik negara.

Di samping itu, pihaknya mengingatkan kerajaan mengenai komitmennya terhadap pemerdagangan manusia semasa Malaysia dinilai di bawah Penilaian Penggalan Sejagat yang Kedua (UPR).